Konflik Asia Barat lonjak harga petrol tanpa subsidi, bersubsidi kekal

Ketegangan geopolitik yang kembali memuncak di Asia Barat mula dirasai pengguna apabila harga runcit petrol dan diesel tanpa subsidi meningkat bagi tempoh 23 hingga 29 Julai 2026, susulan lonjakan harga minyak mentah dunia.

Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan, berdasarkan formula Automatic Pricing Mechanism (APM), harga RON97 dan RON95 tanpa subsidi masing-masing meningkat 20 sen seliter, manakala diesel tanpa subsidi naik 35 sen seliter.

Mulai hari ini, harga RON97 ditetapkan pada RM4.20 seliter berbanding RM4.00 sebelum ini, manakala RON95 tanpa subsidi meningkat kepada RM3.62 seliter daripada RM3.42.

Harga diesel tanpa subsidi pula naik kepada RM4.42 seliter, berbanding RM4.07 minggu sebelumnya.

Menurut MOF, kenaikan itu didorong oleh peningkatan sekitar 16 peratus harga minyak mentah Brent sepanjang minggu lalu selepas konflik antara Amerika Syarikat dan Iran kembali memuncak sebaik tempoh gencatan senjata berakhir.

Selain itu, sekatan terhadap perkapalan serta pengurangan aliran kapal melalui Selat Hormuz turut mencetuskan kebimbangan terhadap gangguan bekalan petroleum global.

“Paras inventori minyak global yang semakin ketat serta ancaman gangguan penghantaran minyak dari Arab Saudi turut menyumbang kepada kenaikan harga minyak mentah dunia,” menurut kementerian itu dalam kenyataan hari ini.

MOF menjangkakan pasaran petroleum global akan terus berdepan ketidaktentuan selagi konflik di Asia Barat belum menemui penyelesaian yang berkekalan.

Bagaimanapun, kerajaan memberi jaminan bekalan bahan api negara ketika ini masih mencukupi.

Sehubungan itu, orang ramai disaran menggunakan bahan api secara berhemat dengan merancang perjalanan secara lebih cekap dan mengurangkan perjalanan yang tidak perlu bagi membantu mengurangkan tekanan terhadap perbelanjaan subsidi kerajaan.

Harga subsidi kekal

Walaupun harga tanpa subsidi meningkat, kerajaan mengekalkan harga bahan api bersubsidi di bawah inisiatif BUDI MADANI.

Harga RON95 (BUDI95) kekal pada RM1.99 seliter, manakala BUDI Diesel dikekalkan pada RM2.10 seliter.

Bagi pengguna di bawah Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) dan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS), harga masing-masing kekal pada RM2.05 dan RM2.15 seliter.

MOF berkata, rakyat Malaysia yang layak masih boleh membeli RON95 dan diesel bersubsidi menggunakan MyKad, tertakluk kepada syarat kelayakan serta baki kuota bulanan masing-masing.

Kementerian menegaskan Kerajaan MADANI akan terus mengambil pendekatan berhemah bagi melindungi rakyat daripada turun naik harga minyak dunia, di samping memastikan bekalan bahan api negara kekal stabil dan terjamin.

BACA JUGA Malaysia bukan negara suruhan, kerajaan MADANI tidak tunduk tekanan ahli Kongres AS