Hamzah mahu PBN, Umno jawab: Tak pernah setuju
Cadangan Datuk Seri Hamzah Zainudin supaya kerjasama Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) dikenali sebagai Perikatan Barisan Nasional (PBN) menerima penolakan terbuka daripada kepimpinan Umno.
Naib Presiden Umno, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menegaskan cadangan berkenaan hanyalah pandangan Hamzah dan tidak pernah dipersetujui kepimpinan parti.
“Mengenai Perikatan Barisan Nasional itu kenyataan dia. Kami kepimpinan tak pernah setuju,” katanya sebagaimana dipetik MalaysiaGazette.
Wan Rosdy berkata, perkara yang lebih penting ialah kedua-dua gabungan mempunyai persefahaman untuk bekerjasama, mengelakkan pertindihan kerusi dan berusaha mencapai kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Pendirian sama turut disuarakan Setiausaha Agung Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang menyifatkan istilah PBN sebagai tidak relevan.
Beliau sebelum ini menjelaskan hubungan BN-PN hanyalah suatu bentuk persefahaman politik dan bukannya penggabungan kedua-dua blok sehingga memerlukan identiti atau nama baharu.
Asyraf turut menggambarkan kerjasama berkenaan sebagai satu kesefahaman pilihan raya, bukannya “kahwin campur”, dengan tumpuan diberikan kepada usaha membantu calon serta mengelakkan pertembungan sesama sendiri.
Kelmarin, Hamzah mencadangkan nama PBN digunakan kerana mendakwa sebutan PN-BN mungkin menyukarkan sesetengah pihak dan menimbulkan kekeliruan dalam kalangan pengundi.
“Kita di Negeri Sembilan bermula dengan Perikatan Barisan Nasional. Ramai orang susah menyebut PN-BN, jadi PBN sahaja,” katanya yang juga Presiden Parti Wawasan Negara selepas program pengenalan calon BN-PN di Felda Bukit Rokan, Tampin.
BACA JUGA Buli sampai retak tengkorak: WARDA gesa tiada kompromi, pelaku mesti dihukum