Manifesto PH : Anak muda, keluarga muda jadi fokus, pertaruh 30,000 kerja, 20,000 rumah 

Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan meletakkan sasaran mewujudkan 30,000 peluang pekerjaan bergaji tinggi, membina 20,000 rumah mampu milik dan memperkasakan Skim Sejahtera Rakyat (SSR) sebagai tiga tonggak utama manifesto Pilihan Raya Negeri (PRN) 2026.

Dalam sidang media di Bilik Gerakan Utama PH Negeri Sembilan hari ini, yang dihadiri Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Samad, Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil dan Setiausaha DAP Negeri Sembilan, Cha Kee Chin  gabungan itu menegaskan manifesto bertemakan “Kekal Harapan – Negeri Sembilan Maju 2045” bukan sekadar janji pilihan raya, sebaliknya kesinambungan kepada dasar dan pencapaian kerajaan negeri sepanjang lima tahun lalu.

Menurut PH, fokus utama adalah memastikan manfaat pertumbuhan ekonomi negeri dapat dinikmati secara langsung oleh rakyat.

Bagi aspek pekerjaan, PH menyasarkan 30,000 peluang pekerjaan bergaji tinggi supaya lebih ramai anak Negeri Sembilan tidak lagi perlu berhijrah ke negeri lain untuk mendapatkan pekerjaan yang lebih baik.

“Pelaburan yang berjaya dibawa masuk mesti diterjemahkan kepada peluang pekerjaan dan pendapatan yang lebih baik untuk rakyat,” menurut kenyataan itu.

Dalam sektor perumahan pula, PH berjanji membina 20,000 rumah mampu milik bagi membantu lebih ramai keluarga muda memiliki kediaman sendiri.

Gabungan itu turut berikrar meneruskan Program Rumah Harapan di samping mempercepatkan penyelesaian isu tanah serta hak milik yang masih dihadapi sebahagian rakyat.

Selain itu, PH mahu memperkukuhkan Skim Sejahtera Rakyat (SSR) dengan pendekatan lebih menyeluruh merangkumi bantuan dari peringkat kelahiran, pendidikan, alam pekerjaan, perkahwinan sehingga usia emas.

Menurut kenyataan itu, manifesto tersebut dibina berasaskan prinsip bahawa pembangunan negeri mesti memberi manfaat kepada seluruh rakyat tanpa mengira kaum dan latar belakang.

PH turut mempertahankan rekod pentadbirannya sepanjang lima tahun lalu dengan mendakwa kerajaan negeri yang stabil telah berjaya menarik pelaburan, mengukuhkan ekonomi serta memperluaskan pelbagai program kebajikan.

“Hasil negeri, untuk rakyat,” menurut kenyataan itu.

Sehubungan itu, PH menyeru pengundi supaya terus memberikan mandat kepada gabungan berkenaan bagi membolehkan agenda pembangunan diteruskan ke arah merealisasikan Negeri Sembilan Maju 2045.

Gabungan itu menegaskan slogan “Dari rakyat, oleh rakyat, untuk rakyat” akan terus menjadi asas pentadbiran sekiranya diberi mandat baharu pada PRN kali ini.

BACA JUGA Laporan RCI Tabung Haji bakal didedah? Anwar kata rakyat berhak tahu apa sebenarnya berlaku