Duit penoreh, pesawah dikumpul demi haji, kerajaan pilih jalan sukar dedah siapa rakus ‘kerjakan’ TH

Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Lembaga Tabung Haji (TH) disifatkan sebagai detik penting untuk membongkar bagaimana institusi yang diamanahkan umat Islam telah dicemari oleh kelompok rakus dan tidak bertanggungjawab.

Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, rakyat berhak mengetahui perkara sebenar sehingga pengurusan institusi berkenaan memerlukan siasatan pada peringkat tertinggi.

Menurutnya, wang yang disimpan dalam TH bukanlah wang lebihan golongan berada, sebaliknya hasil titik peluh rakyat biasa yang bekerja keras selama bertahun-tahun demi menunaikan rukun Islam kelima.

“Setiap ringgit yang disimpan di institusi tersebut bukan wang lebihan.

“Malah, ia hasil daripada menoreh getah, mengusahakan bendang dan kebun, memandu teksi dari pagi hingga malam serta berniaga kecil-kecilan di kampung dan wilayah Felda.

“Impian besar mereka hanya satu, iaitu menjadi tetamu Allah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kamil menegaskan, sebarang kecuaian atau penyelewengan terhadap amanah itu bukan sekadar merosakkan imej TH, malah mengkhianati harapan serta doa jutaan umat Islam yang menyimpan secara tekun selama bertahun-tahun.

Katanya, apabila simpanan tersebut didakwa dicemari oleh tangan-tangan rakus, kerajaan tidak boleh memilih untuk menutup kelemahan atau mempertahankan imej mana-mana pentadbiran terdahulu.

Rakyat meneliti

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilapor berkata, laporan akhir RCI berkaitan TH sedia untuk didedahkan bagi membolehkan rakyat meneliti isu berkaitan penjualan aset strategik agensi itu sebelum ini.

Anwar berkata, beliau akan merujuk Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, untuk mendedahkan laporan itu selepas mesyuarat Kabinet 29 Julai depan.

Kelmarin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan ketika menjawab soalan di Dewan Negara memaklumkan penjualan aset TH yang kurang berdaya saing dan bermasalah kepada syarikat tujuan khas milik penuh kerajaan Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB) adalah keputusan kolektif Jemaah Menteri pada 2018.

Zulkifli berkata, Ketua Audit Negara dan Bank Negara Malaysia (BNM) mendedahkan masalah kewangan serius TH apabila jurang defisit antara aset dengan liabiliti institusi itu mencecah RM10.9 bilion pada tahun itu.

Jelasnya, keputusan menyelamatkan TH terbukti berhasil apabila deposit institusi itu meningkat daripada kira-kira RM69.4 bilion pada 2019 kepada lebih RM95.1 bilion pada pertengahan tahun ini.

Tidak terlepas
Muhammad Kamil Abdul Munim

Mengulas lanjut, Kamil menegaskan bahawa pendedahan laporan RCI tidak harus dilihat sebagai usaha menyerang mana-mana pihak, sebaliknya langkah memastikan individu atau kelompok yang bertanggungjawab tidak terlepas daripada tindakan.

“Ini bukan masanya untuk menutup kelemahan atau mempertahankan imej mana-mana pentadbiran sebelum ini, jauh sekali melindungi mana-mana individu atau kelompok tertentu,” katanya.

Menurut Kamil, Kerajaan MADANI memilih jalan yang sukar dengan mendedahkan kebenaran meskipun terdapat pihak yang lebih selesa sekiranya episod hitam berkenaan terus tersimpan dan dilupakan rakyat.

Katanya, keberanian diperlukan untuk mengakui bahawa kesilapan serta ketelanjuran pernah berlaku, selain memastikan pihak yang terbabit dipertanggungjawabkan.

“Ada pihak yang berharap rakyat melupakan episod hitam ini. Tetapi kita mesti berani mengaku bahawa kesilapan dan ketelanjuran telah berlaku.

“Tugas kita sekarang adalah memastikan mereka yang bertanggungjawab dipertanggungjawabkan,” tegasnya.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) itu berharap laporan RCI tersebut akan menjadi noktah kepada episod hitam TH, sekali gus membuka lembaran baharu bagi membentuk sebuah institusi yang lebih telus, berintegriti dan benar-benar berpaksikan kepentingan umat Islam.

Beliau berkata, amanah yang diberikan kepada TH perlu dipulihkan dan dipelihara kerana ia bukan sahaja melibatkan kepentingan pendeposit hari ini, tetapi turut menjadi tanggungjawab kepada generasi akan datang.

BACA JUGA Berselingkuh dengan PN tapi tidak mahu duduk serumah, ‘kantoi’ sudah perangai sebenar BN