Hamzah sedih, BN tolak mentah-mentah cadangan beliau
Presiden Parti Wawasan Negara (Wawasan), Datuk Seri Hamzah Zainudin meluahkan kekecewaan selepas cadangannya untuk menggunakan nama Perikatan Barisan Nasional (PBN) bagi kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) ditolak tanpa perbincangan lanjut.
Beliau berkata, reaksi Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Setiausaha Agung Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki terhadap cadangan berkenaan amat mengecewakan.
Ahli Parlimen Larut itu berkata, cadangan penggunaan nama PBN hanyalah satu pandangan yang dikemukakan dalam semangat memperkukuh kerjasama politik antara kedua-dua gabungan.
Namun katanya, ia ditolak secara mentah-mentah tanpa diberikan ruang untuk diperhalusi atau dibincangkan secara terbuka.
“Dalam politik yang matang, setiap cadangan wajar dinilai secara rasional dan tidak sepatutnya ditolak hanya berdasarkan sentimen atau persepsi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Bekas Timbalan Presiden Bersatu berkenaan turut mengingatkan BN supaya tidak mendabik dada sebagai pihak yang lebih dominan dalam kerjasama politik yang dimulakan di Negeri Sembilan.
Katanya, kerjasama berkenaan turut memberikan kelebihan besar kepada BN apabila gabungan itu diberikan peluang bertanding di 25 kerusi, berbanding hanya 11 kerusi yang ditandingi PN.
Beliau mendakwa keputusan PN memberikan laluan kepada BN di lebih banyak kerusi bukan sesuatu yang mudah, sebaliknya dibuat demi menjayakan kerjasama yang diharapkan mampu mengubah landskap politik negara.
“Bukan mudah bagi PN untuk membuat keputusan memberikan laluan sedemikian demi menjayakan kerjasama yang diharapkan mampu membawa perubahan kepada landskap politik negara.
“Pengorbanan tersebut sewajarnya dihargai dan dihormati,” katanya yang meninggalkan Umno pada 2018 itu.
Blok pembangkang
Dalam pada itu, Hamzah yang juga Ketua Pembangkang di peringkat Persekutuan sekali lagi menghulurkan tangan kepada BN untuk membentuk sebuah blok pembangkang yang kukuh, berwibawa dan berwawasan.
Beliau berkata, keutamaan kedua-dua gabungan seharusnya bukan tertumpu kepada soal nama atau pihak mana yang lebih dominan.
Sebaliknya, kata Hamzah, tumpuan perlu diberikan kepada usaha membina kesepakatan yang mampu menawarkan alternatif terbaik kepada rakyat serta bersedia membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
“Sekiranya kita benar-benar meletakkan kepentingan rakyat dan masa depan negara sebagai keutamaan, maka segala perbezaan harus diraikan melalui perbincangan yang matang, saling menghormati dan berteraskan semangat kerjasama,” kata Hamzah lagi.
BACA JUGA Duit penoreh, pesawah dikumpul demi haji, kerajaan pilih jalan sukar dedah siapa rakus ‘kerjakan’ TH