Saya paling teruja nak tahu kandungan RCI Tabung Haji, kata Mujahid
Bekas Menteri Agama, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, beliau adalah individu yang paling teruja menantikan pendedahan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Tabung Haji, yang dijangka akan didedahkan kepada awam dalam masa terdekat.
Mujahid yang juga Timbalan Presiden AMANAH berkata, beliau secara peribadi mempunyai kepentingan dalam siasatan tersebut kerana sebelum ini telah dipanggil sebagai saksi, memandangkan beliau adalah menteri yang bertanggungjawab terhadap TH pada tahun 2018 sehingga 2020.
“Secara peribadi saya ada kepentingan dalam (siasatan) itu, sebab saya sendiri salah seorang yang dipanggil untuk menjadi saksi kepada kepimpinan kerajaan pada 2018 hingga 2020.
“Maka saya orang yang paling teruja untuk mengetahui apa kandungan laporan RCI tersebut kerana latar siasatan itu berpandukan tempoh pentadbiran bermula dari tahun 2014 sehingga tahun 2020.
“Kebetulan 2018 hingga 2020 saya jadi menteri bertanggungjawab atas TH. Kita nak tahu apa keputusan dalam laporan tersebut,” katanya dalam sidang media tengah hari tadi.
Mujahid berkata, ketika beliau menjadi Menteri Agama pada 2018, serangan ke atas Tabung Haji begitu agresif sehinggakan beberapa keputusan mahkamah yang memihak kepadanya dan sekali gus menyangkal dakwaan liar terhadap penjualan aset TH, tetap tidak mampu membendung serangan terhadap beliau.
Justeru menurut beliau, penerbitan laporan RCI kepada awam nanti akan mendedahkan siapa dalang sebenar yang menjatuhkan institusi kewangan utama umat Islam itu, dan siapa pihak yang memulihkan institusi tersebut.
“Saya dua kali hadap kes mahkamah. Satu saya menyaman, kedua saya disaman. Kedua-duanya, Alhamdulillah mahkamah beri kemenangan kepada saya. Itu adalah kemenangan yang diiktiraf (dari mahkamah). Tetapi, isu TH masih tetap dimomokkan, kononnya dijual dan dikuasai DAP.
“Bagi saya sudah tiba masanya RCI didedahkan kepada awam dan nak tengok siapa betul-betul jadi dalang yang merosakkan TH dan siapa yang menyelamatkan TH.
“Saya sebagai orang terlibat secara langsung bersedia untuk melihat apa kesalahan yang saya lakukan kalau ada, dan kebaikan yang saya lakukan kalau ada. Siapa yang menjadi dalang, siapa yang sakau, jadi perosak tidak mengikut undang-undang, ini kita tunggu lah,” ujarnya.
BACA JUGA Zahid minta Sanusi balik Kedah, jaga negeri lagi baik