Pengundi Cina luah kecewa, kenyataan Sanusi buat mereka rasa tidak diterima
Seorang wanita Cina meluahkan rasa kecewa terhadap kenyataan kontroversi yang dibuat oleh Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, tentang Tanah Melayu untuk orang Melayu.
Berkongsi di sosial media, wanita tersebut yang merupakan pengundi Gemas berkata, kenyataan seperti itu membuatkan orang bukan Islam sepertinya berasa seperti tidak diterima sebagai sebahagian daripada rakyat Malaysia.
Individu itu berkata, mereka sebenarnya bukanlah orang yang anti-Melayu, tetapi mereka berkecil hati apabila tidak dianggap sebagai ahli keluarga Malaysia.
“Sebenarnya non-Muslim tak takut pada Islam, kami tak anti-Melayu pun. Yang paling kami hurt ialah macam tidak dianggap sebagai ahli keluarga Malaysia.
“Malaysia tanah tumpah darahku. Saya ada IC, saya boleh cakap Melayu, saya sokong pasukan Malaysia dalam mana-mana pertandingan antarabangsa. Tak cukup ke?
“Kami pun hanya ada tanah Malaysia,” tulisnya.
Luahan itu hadir susulan kenyataan Sanusi yang mengundang kontroversi apabila menyentuh isu perkauman dengan menyebut “orang Cina mempunyai China, orang India mempunyai India manakala orang Melayu hanya mempunyai Tanah Melayu”.
Hantaran tersebut menerima perhatian ramai pengguna media sosial berbangsa Melayu yang tampil memberikan sokongan dan kata-kata semangat, sambil menegaskan bahawa semua rakyat tanpa mengira kaum adalah sebahagian daripada keluarga besar Malaysia.
BACA JUGA Calon BN didakwa elak cukai dengan beri maklumat salah kepada LHDN?