Samsuri sanggah Zahid, Sanusi bebas berkempen di Negeri Sembilan

Perikatan Nasional (PN) menegaskan tiada sebarang arahan atau larangan dikenakan terhadap Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor untuk terus berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, sekali gus menolak tanggapan bahawa pemimpin itu disisihkan susulan kontroversi ucapannya.

Pengerusi PN, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kehadiran Sanusi dalam kempen bergantung sepenuhnya kepada kelapangan jadualnya sebagai Menteri Besar Kedah dan bukannya disebabkan sebarang sekatan daripada kepimpinan gabungan itu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang sebelum ini menyifatkan Sanusi tidak sesuai dijadikan jurukempen kerana dikatakan boleh menjejaskan sokongan pengundi.

“Itu pandangan beliau sebagai Pengerusi Barisan Nasional. Kita ambil maklum.

“Saya percaya ia bergantung kepada Datuk Seri Sanusi sama ada beliau dapat datang atau tidak selepas ini. Sama seperti saya, kami berdua ialah Menteri Besar yang selain berkempen politik masih mempunyai tanggungjawab mentadbir negeri. Kalau beliau dapat datang, beliau datanglah,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Manifesto PN bagi PRN Negeri Sembilan di Kompleks Pas Negeri Sembilan (Kompas), malam tadi.

Mengulas dakwaan bahawa gaya ceramah Sanusi boleh menjejaskan sokongan pengundi Melayu dan Cina, Samsuri berkata orang ramai perlu melihat kenyataan penuh Menteri Besar Kedah itu dan bukan sekadar petikan yang didakwa telah diputarbelitkan.

Menurutnya, Sanusi sendiri telah memaklumkan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang didakwa memesongkan kenyataannya.

“Datuk Seri Sanusi sudah maklum bahawa beliau akan menyaman mana-mana pihak yang memesongkan perkara yang disebut oleh beliau. Jadi kita tengoklah nanti,” katanya.

Ditanya sama ada Sanusi masih bebas turun berkempen selepas kontroversi tersebut, Samsuri menegaskan PN tidak pernah menghalang mana-mana pemimpinnya daripada membantu kempen pilihan raya.

“Kita tidak ada halangan, tidak ada sebarang gag order kepada sesiapa pun,” katanya.

BACA JUGA Sanusi ancam saman pihak manipulasi ucapannya, netizen kata samanlah Zahid tu