‘Bila dah tak ada modal, kaum pula dijual’ – PH seru kempen PRN berasaskan fakta

Pakatan Harapan (PH) menggesa semua parti yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan menghentikan politik memainkan sentimen kaum dan agama, sebaliknya menawarkan dasar, rekod pencapaian serta penyelesaian kepada masalah rakyat.

Gesaan itu dibuat ketika kempen PRN semakin hangat susulan beberapa kenyataan berbaur perkauman yang mencetuskan kritikan pelbagai pihak dalam beberapa hari kebelakangan ini.

Ketua Komunikasi PH, Datuk Seri Ahmad Fahmi Fadzil berkata, pilihan raya sepatutnya menjadi medan persaingan idea dan tawaran terbaik kepada rakyat, bukannya pentas menyemai kebencian atau ketakutan.

“Apabila sebuah parti tidak yakin dengan rekod dan tawarannya, mereka akan menjual kebencian dan permusuhan.

“Apabila sebuah parti yakin dengan rekod dan tawarannya, mereka akan menawarkan harapan berdasarkan fakta, janji dan pencapaian.

“Pakatan Harapan memilih untuk menawarkan harapan, bukan kebencian,” katanya pada sidang media hari ini.

Beliau berkata, setiap warganegara yang layak mempunyai hak untuk memilih kerajaan, justeru kempen pilihan raya perlu berlangsung secara matang dan berteraskan fakta.

Menurutnya, cubaan memainkan sentimen perkauman hanya bertujuan mengalihkan perhatian rakyat daripada isu sebenar yang memberi kesan kepada kehidupan mereka.

Katanya, rakyat Negeri Sembilan lebih memerlukan jawapan mengenai peluang pekerjaan bergaji tinggi, pemilikan rumah, kos sara hidup dan pertumbuhan ekonomi negeri berbanding retorik yang memecah-belahkan masyarakat.

“Politik kebencian dan ketakutan tidak akan membuka peluang pekerjaan.

“Politik perkauman tidak akan menurunkan harga barang, manakala fitnah tidak akan membina rumah mampu milik atau membawa masuk pelaburan baharu,” katanya.

Sehubungan itu, Ahmad Fahmi menggesa semua parti mematuhi undang-undang pilihan raya dan memastikan baki tempoh berkempen berlangsung secara berhemah, berilmu dan berasaskan fakta.

“Bertandinglah dengan dasar, bertandinglah dengan rekod dan prestasi. Bawalah cadangan-cadangan dan penyelesaian.

“Jangan bertanding atas dasar kebencian yang cuba memecahbelahkan ataupun menimbulkan rasa takut dalam kalangan rakyat,” katanya.

Beliau turut mengingatkan bahawa Negeri Sembilan selama ini dikenali sebagai negeri yang aman dan harmoni, dan perpaduan yang dibina sejak sekian lama tidak seharusnya digadai demi kepentingan politik jangka pendek.

Menurutnya, pengundi kini berdepan pilihan sama ada untuk menyokong politik yang menyatukan rakyat atau politik yang memecah-belahkan masyarakat.

“Pakatan Harapan akan terus menawarkan politik yang sederhana, inklusif dan menyatupadukan rakyat, tanpa mengira kaum, agama dan keturunan.

“Negeri Sembilan tidak perlukan politik kebencian,” katanya.

BACA JUGA BN secara rasmi tolak politik perkauman, ketakutan Pas