‘Jangan biar fitnah kalahkan perpaduan’ – Pesanan Anwar kepada warga ATM

Keamanan dan kestabilan yang dinikmati Malaysia hari ini dibina atas pengorbanan berterusan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta seluruh pasukan keselamatan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, jasa mereka bukan sahaja menjamin keselamatan negara, malah menjadi asas kepada kemakmuran ekonomi serta keyakinan masyarakat antarabangsa terhadap Malaysia.

Berkongsi perkara itu selepas menghadiri majlis bersama warga ATM di Kem Syed Sirajuddin di Gemas bersama isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Anwar menegaskan pengorbanan pasukan keselamatan tidak boleh dipandang ringan.

“Keamanan negara yang kita kecapi hari ini lahir daripada pengorbanan yang tidak pernah terhenti oleh warga Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia serta seluruh pasukan keselamatan.

“Jasa dan pengorbanan merekalah yang menjadi asas kepada kestabilan, kemakmuran serta keyakinan dunia terhadap Malaysia,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Beliau turut menegaskan bahawa dalam sebuah negara majmuk seperti Malaysia, Perlembagaan Persekutuan kekal menjadi tiang utama perpaduan negara.

Menurutnya, Perlembagaan menjamin kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, hak orang Melayu dan Bumiputera, Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan serta institusi Raja-Raja Melayu yang perlu terus dipertahankan.

“Dalam negara yang majmuk, Perlembagaan Persekutuan kekal menjadi asas perpaduan dengan menjamin kedudukan Islam, hak orang Melayu dan Bumiputera, Bahasa Melayu serta institusi Raja-Raja Melayu.

“Inilah asas yang wajib terus kita pertahankan demi masa depan negara,” katanya.

Anwar turut mengingatkan rakyat supaya tidak membiarkan fitnah, kebencian atau sentimen yang memecahbelahkan masyarakat mengatasi semangat perpaduan yang menjadi kekuatan negara sejak sekian lama.

“Jangan sesekali membiarkan fitnah, kebencian atau sentimen yang memecah-belahkan rakyat mengatasi semangat kebersamaan yang sekian lama menjadi kekuatan Malaysia,” katanya.

Beliau menyeru seluruh rakyat agar terus mempertahankan kestabilan politik, memperkukuh perpaduan dan meneruskan agenda pembangunan demi mewariskan sebuah Malaysia yang aman, makmur dan dihormati kepada generasi akan datang.

BACA JUGA ‘Ya, saya potong reben, tapi reben pelaburan berbilion’ – Tok Min jawab sindiran Mat Hasan