Hak Melayu dan Islam terus diperkasa, Profesor G70 bentang 5 sebab rakyat Negeri Sembilan perlu kekalkan PH

Pertubuhan Profesor G70 (PPG70) menolak naratif yang cuba menggambarkan bahawa hak orang Melayu serta kedudukan Islam terancam di bawah pentadbiran semasa Pakatan Harapan (PH).

Sebaliknya, PPG70 menegaskan bahawa hak Melayu dan Islam terus diperkasakan sepanjang tempoh pentadbiran PH sejak 2018.

Pertubuhan berkenaan berkata, masyarakat Melayu di Negeri Sembilan mempunyai kedudukan unik yang dilindungi oleh Perlembagaan, Institusi Diraja, Undang Luak dan tradisi Adat Perpatih.

Pemerkasaan masyarakat Melayu dilaksanakan dengan memastikan warisan, pegangan tanah dan kedudukan sosioekonomi terus dipelihara seiring dengan proses pemodenan negeri.

Usaha memperkukuh syiar Islam pula merangkumi kebajikan penggerak agama, pendidikan Islam, pembangunan infrastruktur keagamaan dan pemantapan perundangan Syariah.

“Pendekatan ini berteraskan prinsip ‘adat bersendi syarak, syarak bersendi Kitabullah’,” tegas PPG70 menerusi kenyataan dikeluarkan hari ini.

Kumpulan profesor itu berkata, fakta tersebut perlu dijadikan pertimbangan supaya rakyat tidak mudah terpengaruh dengan dakwaan bahawa kepentingan Melayu dan Islam hanya boleh dipertahankan melalui politik kebencian serta perpecahan kaum.

Sehubungan itu, rakyat Negeri Sembilan diseru membuat pilihan berasaskan rekod prestasi dan kestabilan pentadbiran, bukannya terpengaruh dengan politik identiti sempit serta naratif perkauman yang boleh menjejaskan masa depan negeri.

PPG70 berkata, pentadbiran negeri ketika ini telah menunjukkan keupayaan mengurus pembangunan secara berkesan menerusi kestabilan politik, peningkatan pelaburan, pembasmian kemiskinan serta pengukuhan kebajikan rakyat.

Menurut pertubuhan itu, pilihan raya kali ini bukan sekadar soal memilih parti atau calon, sebaliknya menentukan sama ada kemajuan yang telah dicapai dapat diteruskan atau berdepan risiko terganggu akibat perubahan pentadbiran.

“Atas dasar tanggungjawab keilmuan, PPG70 menyeru rakyat Negeri Sembilan agar memberikan perhatian khusus terhadap kestabilan pentadbiran, rekod kecemerlangan serta kelestarian masa depan negeri,” katanya dalam kenyataan.

PPG70 turut menyarankan pengundi menilai usaha kerajaan negeri dalam menganjak struktur ekonomi melalui pengembangan industri berskala besar dan pemerkasaan taraf sosioekonomi rakyat.

Kerajaan stabil, pembangunan diteruskan

Menurut PPG70, kestabilan pentadbiran Negeri Sembilan mencerminkan keupayaan kerajaan negeri mengurus urusan pemerintahan dengan berkesan dan mampan.

Kestabilan itu membolehkan dasar, projek pembangunan dan program kebajikan rakyat dilaksanakan secara tersusun, tanpa diganggu perebutan kuasa atau ketidaktentuan politik.

Katanya, kedudukan Negeri Sembilan turut diperkukuh oleh kesepakatan dalam Kerajaan Perpaduan serta kesejajaran strategik antara kerajaan negeri dengan Kerajaan Persekutuan.

Hubungan baik itu membolehkan perancangan pembangunan, penyaluran peruntukan dan pelaksanaan projek rakyat diselaraskan dengan lebih berkesan.

“Permuafakatan sosiopolitik di peringkat negeri ini selari dengan pepatah, ‘bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat’,” katanya.

Bukan hanya ‘tempias’ Lembah Klang

PPG70 turut menyorot pencapaian Negeri Sembilan dalam menarik pelaburan, sehingga meletakkan negeri itu dalam kelompok teratas di peringkat nasional.

Menurutnya, kerajaan negeri berjaya melaksanakan transformasi struktur ekonomi daripada sekadar menjadi kawasan sokongan kepada Lembah Klang kepada sebuah hab industri yang mampu menarik pengeluar berteknologi tinggi.

Perubahan itu membolehkan Negeri Sembilan memainkan peranan lebih besar dalam rantaian ekonomi global, sekali gus membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan meningkatkan aktiviti ekonomi tempatan.

“Negeri Sembilan kini berkeupayaan beroperasi sebagai pemain ekonomi global dan tidak lagi sekadar entiti sokongan kepada kawasan Lembah Klang.

“Pencapaian ini merupakan manifestasi daripada pegangan ‘sekali melangkah, biar berjejak’,” katanya.

Pencapaian berkenaan juga menunjukkan bahawa pentadbiran negeri tidak sekadar membuat pengumuman atau melancarkan pelan pembangunan, sebaliknya berjaya menghasilkan impak yang dapat dinikmati rakyat.

Empat tahun sifar miskin tegar

Dalam aspek kebajikan, PPG70 berkata keberkesanan dasar kerajaan negeri turut dibuktikan melalui kejayaan merealisasikan agenda Sifar Miskin Tegar selama empat tahun berturut-turut dari 2023 hingga 2026.

Menurutnya, pencapaian itu menunjukkan kerajaan negeri mengambil pendekatan lebih menyeluruh dalam menangani kemiskinan, bukan sekadar memberikan bantuan sementara.

Antara langkah yang dilaksanakan ialah penetapan kuota wajib 50 peratus Rumah Mampu Milik bagi setiap pembangunan swasta.

Dasar itu membantu memastikan pembangunan pesat tidak hanya menguntungkan pemaju atau golongan berpendapatan tinggi, sebaliknya turut membuka akses pemilikan rumah kepada rakyat biasa.

PPG70 berkata, intervensi polisi tersebut berjaya membantu ribuan ketua isi rumah keluar daripada kitaran kemiskinan tegar.

“Keberhasilan ini memaparkan tatakelola pembangunan inklusif yang meminimumkan keciciran.

“Prinsip kebersamaan ini berpasak pada pegangan ‘bukit sama didaki, lurah sama dituruni’,” katanya.

Pertubuhan itu turut menyatakan Negeri Sembilan mendapat pengiktirafan sebagai Negeri Paling Progresif 2024, yang dianggap sebagai pengesahan terhadap keberkesanan dasar serta hala tuju pembangunan negeri.

Kebajikan ATM dan PDRM tidak dipinggirkan

PPG70 berkata pentadbiran Pakatan Harapan turut menunjukkan komitmen dalam menjaga kebajikan anggota Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia.

Komitmen itu diterjemahkan melalui pelarasan pendapatan, penambahbaikan skim perkhidmatan, kemudahan perumahan, pendidikan, kesihatan dan bantuan sara hidup secara bersasar.

Menurutnya, kebajikan anggota keselamatan tidak sepatutnya hanya dijadikan bahan ucapan ketika musim pilihan raya, sebaliknya perlu dilaksanakan melalui dasar dan peruntukan yang tersusun.

“Penyaluran insentif kewangan bersasar adalah pengiktirafan rasmi terhadap pengorbanan pasukan keselamatan negara kerana ‘orang beradat membalas budi, budi orang dikenang-kenang’,” katanya.

Tolak politik identiti sempit

Dalam masa sama, PPG70 menegaskan kestabilan pentadbiran dan rekod kecemerlangan merupakan prasyarat penting bagi memastikan masa depan serta kemakmuran Negeri Sembilan tidak terjejas.

Menurutnya, masyarakat yang matang perlu menolak politik identiti sempit serta naratif perpecahan kaum yang bercanggah dengan nilai Islam dan keharmonian masyarakat.

Politik yang hanya membangkitkan ketakutan antara kaum tanpa menawarkan penyelesaian ekonomi, kebajikan dan pembangunan berisiko membawa Negeri Sembilan ke belakang.

“Demi mempertahankan kelestarian masa depan negeri yang progresif dan menjamin kesejahteraan rakyat secara berterusan, masyarakat diseru memilih calon yang terbukti berkhidmat demi kemaslahatan awam.

“Pilihan berada di tangan seluruh rakyat Negeri Sembilan,” kata PPG70 lagi.

BACA JUGA Terkejut banyak bendera PH dicampak dalam parit, penduduk turun kutip dan pacak kembali