Belum kering inai, Umno sudah tegur PN, kerjasama BN-PN dijangka ulang nasib Muafakat Nasional
Kerjasama politik yang dibina hanya untuk menghadapi pilihan raya tanpa kepastian, prinsip dan akhlak dikhuatiri tidak akan bertahan lama, malah boleh mengulangi perpecahan yang menimpa Muafakat Nasional (MN).
Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH), Senator Mohd Hasbie Muda berkata, pengalaman politik lalu menunjukkan hubungan antara parti yang kelihatan mesra di pentas ceramah boleh berakhir apabila mereka memilih untuk bertembung sesama sendiri dalam pilihan raya.
Hasbie yang mewakili Angkatan Muda Harapan (AMH) berkata demikian ketika menjadi panel program Berani Semuka Sinar Harian bertajuk “Seteru Jadi Kawan, Kawan Jadi Seteru: Politik Matang atau Huru-Hara” malam ini.
Menurutnya, pendekatan yang diambil dalam kerjasama politik bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) di Negeri Sembilan dan Johor perlu memberikan kepastian kepada rakyat, bukannya sekadar persefahaman sementara yang berubah setiap kali tiba musim pilihan raya.
“Apa yang dilakukan di peringkat Negeri Sembilan dan Johor itu, bagi saya kita mahukan satu kepastian.
“Sebelum ini, kerjasama antara parti akhirnya menyaksikan perpecahan selepas memilih untuk bertembung dalam pilihan raya di peringkat negeri,” katanya.

Hasbie mengambil contoh MN yang lahir pada 2019 dengan penuh semangat penyatuan Melayu-Islam antara Umno dan Pas.
Beliau berkata, penyatuan itu pada awalnya turut diterima secara positif oleh pihak di luar kedua-dua parti kerana dilihat berpotensi menamatkan perseteruan panjang yang pernah memecah-belahkan masyarakat Melayu-Islam.
“Muafakat Nasional ditubuhkan pada 2019, siap menangis di WTC.
“Saya walaupun daripada parti berbeza pun seronok melihatnya. Walaupun Amanat Haji Hadi tidak ditarik balik, apabila dua parti Melayu-Islam bersama, bagi saya itu satu perkara yang baik,” ujarnya.
Tidak bertahan lama
Namun, menurut Hasbie, kemesraan tersebut tidak bertahan lama apabila Umno dan Pas mula memilih haluan berbeza serta bertembung dalam pilihan raya negeri.
Bekas pemimpin Pemuda Pas itu berkata, perpecahan mula menjadi semakin jelas ketika pilihan raya di Melaka dan Johor ketika itu, walaupun kedua-dua parti terbabit masih berada dalam kerajaan Persekutuan.
“Tetapi tidak sampai dua tahun, perpecahan itu bermula di Johor dan Melaka apabila kedua-dua kabilah parti Melayu ini bertembung.
“Walaupun di peringkat kerajaan Persekutuan mereka masih kerajaan, apabila mereka bertembung di Johor dan Melaka, mereka berpecah,” katanya.
Pengalaman itu, tegasnya, perlu dijadikan pengajaran supaya penjajaran politik baharu tidak sekadar dibina atas kepentingan pilihan raya atau usaha menjatuhkan lawan bersama.
Dalam masa sama, Hasbie turut menyindir perubahan mendadak dalam hubungan Pas dan Umno apabila Perikatan Nasional (PN) bersama BN.
Katanya, ketika kerjasama itu diperlukan, segala perbalahan dan pertentangan yang berlaku selama puluhan tahun tiba-tiba dianggap sebagai kekhilafan yang boleh dilupakan begitu sahaja.
“Apabila PN mahukan BN, semuanya baik. Perbalahan selama 40 tahun itu khilaf sahaja, sedangkan dalam isu Memali, contohnya, sampai dikafirkan,” katanya merujuk pada tragedi berdarah Memali pada 19 November 1985 di Kampung Memali, Baling, Kedah.
Bahasa sangat keras
Beliau turut membangkitkan kandungan Amanat Haji Hadi yang disifatkannya menggunakan bahasa sangat keras terhadap Umno.
Antara ungkapan yang pernah digunakan, katanya, ialah penentangan terhadap Umno bukan disebabkan nama parti itu, tetapi kerana didakwa mengamalkan “politik suku, agama suku”.
“Amanat Haji Hadi itu sangat keras bahasanya. Istilah-istilah itu sangat dahsyat,” katanya.
Mengulas lanjut, Hasbie bagaimanapun mengucapkan tahniah kepada Setiausaha Agung Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang menurutnya berjaya mendesak Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menarik balik penggunaan gelaran “Umdap” di tiga negeri.
“Saya ucap tahniah kepada Asyraf Wajdi kerana berjaya memaksa Sanusi menarik balik gelaran Umdap di tiga negeri,” katanya.
Walau bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa Malaysia tidak boleh terus terperangkap dalam kitaran penjajaran politik yang berubah setiap kali pilihan raya semakin hampir.
Katanya, keadaan tersebut boleh menyebabkan negara sentiasa berada dalam suasana berpolitik dan gagal memberikan tumpuan sepenuhnya kepada pentadbiran, ekonomi serta penyelesaian masalah rakyat.
“Kita cukup bimbang kita akan terus kerap dengan politik pilihan raya,” katanya.
Jadi modal
Lebih membimbangkan, menurut beliau, ialah penggunaan sentimen perkauman jadi modal untuk menjayakan sesuatu penjajaran politik.
Hasbie merujuk kenyataan bahawa masyarakat Cina mempunyai negara China dan masyarakat India mempunyai negara India sebagai contoh ucapan yang tidak wajar diucapkan.
Katanya, kenyataan sedemikian bukan sahaja bercanggah dengan semangat kebersamaan rakyat Malaysia, malah sudah menerima teguran daripada Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
“Belum lagi inai di jari kering, Presiden Umno sudah menegur pemimpin PN. Belum apa-apa sudah kena,” tempelaknya.
Hasbie turut menyuarakan kebimbangan terhadap kemerosotan akhlak dalam kempen politik, termasuk tindakan pemimpin menggunakan gelaran menghina serta mengheret nama ibu bapa lawan.
Menurutnya, politik matang tidak boleh hanya diukur berdasarkan kesediaan bekas seteru untuk duduk bersama atau berkongsi pentas.
Sebaliknya, kematangan politik perlu diterjemahkan melalui prinsip yang konsisten, penghormatan kepada kepelbagaian rakyat dan kemampuan berbeza pandangan tanpa menghina peribadi seseorang.
“Akhlak dalam berkempen juga menggerunkan kita apabila ada pemimpin PN gelar-menggelar, mengheret nama ayah dan sebagainya,” kata Hasbie lagi.
BACA JUGA Ramanan ‘sekolahkan’ MIC, cabar lihat sendiri sambutan program bersama PMX esok