‘Pakcik merah’ tenang lagi rasional, ‘pakcik biru’ jawab pakai emosi
Satu tinjauan ringkas melihat sokongan pengundi sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan menarik perhatian lantaran cara penyokong HARAPAN dan Barisan Nasional (BN)-Perikatan Nasional (PN) menjawab soalan.
Menerusi klip video yang tular, kedua-dua warga emas berkopiah yang digelarkan netizen sebagai ‘pakcik’ itu kebetulan mengenakan kemeja merah dan baju jalur biru yang masing-masing merupakan ‘kod warna’ bagi HARAPAN dan BN-PN.
‘Pakcik biru’ di awal reaksinya berdegar gegak-gempita mempertahankan apa yang dianggapnya penyatuan Melayu.
Namun, akhirnya penyokong Pas berkenaan tidak mampu tersenyum malah teragak-agak ketika mempertahankan BN-PN.
Sebaliknya, orang ramai di media sosial dilihat memuji ‘pakcik merah’ yang tenang dan kekal dalam senyuman sepanjang menyatakan hujahnya yang padat mengapa perlu mengekalkan HARAPAN di Negeri Sembilan.
“Kenapa (kena undi) merah? Kenapa biru?” kedengaran suara individu yang mengadakan tinjauan spontan di lapangan itu sambil menghulurkan mikrofon.
“Melayu bersatu di bawah biru. Kalau tak nak bersatu, gila ke apa?!” bentak ‘pakcik biru’ dalam nada meninggikan suara.
Tidak agresif
Malah, ‘pakcik biru’ yang sedang duduk di atas motosikalnya tanpa bukti kukuh menganggap DAP sebagai bersikap agresif berbeza dengan parti Cina MCA yang menjadi komponen BN.
“Kita kena berkawan dengan Cina yang tidak agresif. Cina DAP ni agresif,” tuduhnya.
Sebaliknya, ‘pakcik merah’ dengan tenang berkata, DAP terdiri daripada semua kaum berbanding BN yang mempunyai parti khusus mewakili kehendak Cina dan India.
Beliau turut memetik kembali pesanan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merangkap Pengerusi HARAPAN mengenai pentingnya memilih orang Cina yang baik sebagai rakan.
“Sana (BN-PN) pun ada Cina, ada MCA, ada MIC. Dalam DAP ada Cina, ada Melayu, sama saja.
“Tapi kata Anwar, kita lebih baik berkawan dengan Cina yang baik,” hujahnya selamba sambil terus mengukir senyuman.
Tabung Haji
Tidak bersetuju dengan tanggapan tidak benar diucapkan penyokong PN yang memakai lencana Pas di baju itu, beliau seterusnya secara spontan melontarkan pula soalan.
Beliau bertanyakan apa tindakan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke merangkap Pengerusi DAP Negeri Sembilan dan penyandang kerusi N.01 Chennah sejak 2013 terhadap orang Melayu di Negeri Sembilan.
“Saya nak tanya dengan dia, berapa banyak ekar tanah milik Melayu yang Anthony Loke ambil?” soalnya.
Namun, jawapan balas ‘pakcik biru’ itu dilihat tersasar apabila mengaitkan tanah milik Tabung Haji pula sekaligus membuat tuduhan berbaur fitnah yang dilemparkan tanpa bukti.
“Tanah-tanah yang strategik telah diambil dan dijual.
“Contohnya, tu hah, Tabung Haji,” ujarnya teragak-agak dan tidak yakin dengan jawapannya sendiri.
Untuk rekod, ‘pakcik merah’ dan ‘pakcik biru’ antara 867,151 pemilih biasa yang akan keluar mengundi pada 1 Ogos ini.
Semalam, sebanyak 91.06 peratus iaitu 14,995 daripada 16,467 pengundi awal yang layak telah menunaikan tanggungjawab, melibatkan anggota tentera dan polis berserta pasangan.
PRN Negeri Sembilan ke-16 kali ini menyaksikan 103 calon bersaing di 36 kerusi DUN dengan PH bertanding bersendirian di kesemua kerusi.
BN pula meletakkan 25 calon manakala baki 11 kerusi diisi calon PN sekaligus cerminan kerjasama kedua-dua parti yang sekejap berkawan sekejap kelahi ini.
Dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) menyaksikan pertembungan lima penjuru iaitu DUN Sri Tanjung dan Nilai.
Sebanyak 11 kerusi DUN menyaksikan satu lawan satu, tiga penjuru di 21 kerusi dan empat penjuru di dua kerusi.
BACA JUGA Bekas Adun Umno dedah jasa PMX di Sungai Lui, akui rekod Anwar