Lima PM terlepas pandang tentang FELDA, tetapi PMX buat sekarang?
Selepas puluhan tahun isu kebajikan kakitangan di tanah rancangan dikatakan tidak mendapat perhatian sewajarnya, langkah kerajaan memperuntukkan RM450 juta bagi menaik taraf rumah petugas FELDA disifatkan sebagai inisiatif yang tidak pernah dilakukan oleh lima Perdana Menteri terdahulu.
Pandangan itu disuarakan Generasi Kedua dan Ketiga FELDA, Ridhuan Esa, yang menyifatkan keputusan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai pengiktirafan kepada golongan kakitangan rancangan yang selama ini menjadi tulang belakang pengurusan FELDA.
“Terima kasih kepada Perdana Menteri atas insentif khas yang meningkatkan kesejahteraan petugas FELDA dengan memperuntukkan RM450 juta untuk menaik taraf rumah petugas,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Ridhuan, cadangan memperkasakan kebajikan kakitangan sebenarnya telah dikemukakan sejak 2018 menerusi Kertas Cadangan Penambahbaikan Bina Semula FELDA yang diserahkan kepada kementerian dan pengurusan tertinggi agensi itu.
Katanya, antara cadangan utama dalam dokumen tersebut ialah meningkatkan kecekapan perkhidmatan kakitangan di peringkat rancangan melalui penambahbaikan kebajikan, kemudahan dan fasiliti tempat tinggal.
Beliau mendakwa, walaupun FELDA pernah menjana pendapatan berbilion ringgit selepas penyenaraiannya, tiada inisiatif besar diumumkan sebelum ini khusus bagi memperbaiki kediaman kakitangan di tanah rancangan.
“Lima Perdana Menteri sebelum ini mungkin terlepas pandang, tetapi PMX memahaminya dengan lebih baik,” katanya.
Ridhuan berkata, kakitangan di peringkat rancangan merupakan barisan hadapan yang berurusan secara langsung dengan peneroka dan generasi FELDA, namun sebahagian daripada mereka masih mendiami rumah yang dibina lebih 40 tahun lalu.
“Ketika rumah peneroka dan generasi semakin selesa dengan kediaman berdinding batu, masih ada kakitangan yang tinggal di rumah papan usang. Rumah yang lebih baik lazimnya hanya diperuntukkan kepada pengurus,” katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa kakitangan FELDA selama ini bukan sahaja melaksanakan dasar agensi, malah sering menjadi pihak yang berdepan kritikan serta rungutan peneroka susulan pelbagai keputusan pentadbiran dan dasar terdahulu.
Sehubungan itu, Ridhuan berharap lebih banyak pelaburan dilakukan bagi meningkatkan kemudahan serta kebajikan kakitangan di tanah rancangan supaya mereka lebih bermotivasi untuk menggerakkan agenda pembangunan FELDA.
“Kakitangan di rancangan ialah ‘nyawa’ FELDA. Jika mereka diberikan rumah dan kemudahan yang lebih baik, ia mampu menjadi asas kepada kejayaan baharu FELDA untuk 50 tahun akan datang,” katanya.
BACA JUGA “Kalau sayang Negeri Sembilan, jangan balik bercuti… baliklah mengundi”- Tok Min