‘Jalaluddin jangan sebut, menyampah!’, belum habis ditanya, pengundi Paroi terus pilih Tok Min

Belum sempat soalan mengenai pilihan antara Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun atau Tok Min dengan Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, Datuk Seri Jalaluddin Alias, dihabiskan, seorang pengundi terus memotong percakapan dengan reaksi tegas.

Pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Paroi itu pada mulanya memaklumkan bahawa beliau bersama ahli keluarganya sudah bersedia untuk keluar mengundi, 1 Ogos ini.

Namun, suasana bertukar apabila seorang wanita mula bertanya mengenai perbandingan antara Tok Min dan Jalaluddin yang juga calon bertanding mempertahankan DUN Pertang.

“Antara Tok Min dan Jalal…” tanya wanita itu.

Belum sempat habis soalan, warga emas berkenaan terus mencelah dan meminta nama Ahli Parlimen Jelebu sejak 2018 itu tidak disebut di hadapannya.

“Jalaluddin jangan sebut. Menyampah!” tegasnya dalam klip rakaman video yang tular di media sosial.

Merosakkan agama

Beliau turut berpendapat tindakan dan pendekatan pemimpin Umno berkenaan telah menjejaskan imej Islam serta institusi diraja.

“Dia merosakkan agama, merosakkan institusi raja-raja. Tak payah sebut nama dia!

“Jangan tanya pasal dia. Menyampah!” ulangnya lagi sebelum berlalu pergi.

Reaksi spontan itu memperlihatkan kemarahan pengundi terhadap politik yang dilihat memperalatkan sentimen agama dan institusi diraja sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan kali ini.

Untuk rekod, Tok Min berpindah dari DUN Sikamat yang diwakilinya sejak 2008 untuk bertanding di Linggi pada pilihan raya kali ini.

Beliau berdepan pertandingan tiga penjuru melibatkan Datuk Mohd Faizal Ramli (BN) dan
Datuk Zamri Md Said (Bersatu).

Sementara itu, Jalaluddin yang juga dipanggil Tok Jalal bersaing tiga penjuru dalam PRN Negeri Sembilan kali ini.

Jalaluddin berentap dengan Mohd Umry Abdul Khois dari PH dan calon Bersatu, Mohd Faizal Fadli Mohd Idrus.

BACA JUGA ‘Itulah Pas-PN, tak meratib DAP, ajak anak muda konvoi’