Dua darjah kebesaran ditarik serta-merta, Rais Yatim hilang gelaran Negeri Sembilan
Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan menitahkan penarikan balik dua darjah kebesaran yang pernah dikurniakan kepada Tan Sri Dr Mohd Rais Yatim, berkuat kuasa serta-merta.
Dua anugerah berkenaan ialah Darjah Seri Utama Negeri Sembilan (S.P.N.S) yang dikurniakan pada 2001 serta Darjah Dato’ Setia Negeri Sembilan (D.S.N.S) pada 1979.
Perkara itu diumumkan menerusi kenyataan akhbar Pendaftar Darjah Negeri Sembilan, Datuk Mohd Zafir Ibrahim, hari ini.
Menurut kenyataan tersebut, keputusan berkenaan dibuat bagi memelihara kebesaran, kemuliaan dan kehormatan Institusi Diraja Negeri Sembilan.
“Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan telah menitahkan penarikan balik kurniaan Darjah Seri Utama Negeri Sembilan (S.P.N.S) (2001) dan Darjah Dato’ Setia Negeri Sembilan (D.S.N.S) (1979) kepada Tan Sri Dr Mohd Rais bin Yatim, berkuat kuasa serta-merta,” menurut kenyataan itu.
Untuk rekod, Rais, 84, sebelum ini secara terbuka berpendapat tindakan Undang Yang Empat menurunkan takhta Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai sah.
Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan (1978 hingga 1982) itu juga mempertahankan kedudukan pihak yang bertelagah dengan pentadbiran serta institusi diraja negeri, termasuk mengkritik tindakan terhadap bekas Undang Luak Sungai Ujong.
Rais malah dilapor mendakwa Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar telah dimasyhurkan sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang baharu dalam satu acara di Melaka pada 5 Jun lalu.
Walhal, kedudukan Tuanku Muhriz masih dipertahankan oleh kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan.
BACA JUGA Hadi arah penyokong Pas mesti undi, kerja untuk calon BN