2016 Asyraf pertahan TH, 2026 RCI dedah amaran BNM rupanya bukan kosong?
Pendedahan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung Tabung Haji (TH) menghidupkan semula kenyataan Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki pada 2016 yang mempertahankan kedudukan kewangan institusi itu ketika kebimbangan Bank Negara Malaysia (BNM) mula dipersoalkan.
Ketika menjawat jawatan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Asyraf dilaporkan berkata surat BNM mengenai rizab negatif TH tidak menggambarkan keadaan sebenar kewangan institusi tersebut.
Beliau turut menyifatkan kandungan surat yang bocor ketika itu telah disalah tafsir, selain menggesa orang ramai supaya tidak membuat kesimpulan hanya berdasarkan isu rizab dan liabiliti.
Menurutnya, model perniagaan TH berbeza daripada institusi kewangan lain kerana sumber pendapatannya datang daripada pelbagai bentuk pelaburan termasuk hartanah, pasaran modal serta syarikat dan subsidiari miliknya.
Bagaimanapun, laporan RCI yang dinyahklasifikasikan kerajaan hari ini memberikan gambaran berbeza apabila mendedahkan kebimbangan BNM terhadap kedudukan kewangan TH telah dibangkitkan secara konsisten sejak 2014.
Menurut laporan itu, BNM menghantar surat kepada Pengerusi TH ketika itu, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, pada 21 Ogos 2014, 19 Disember 2014 dan 23 Disember 2015 berhubung isu pengurusan kewangan, rizab serta kecairan institusi berkenaan.
Bank pusat itu juga menghantar surat kepada menteri yang bertanggungjawab terhadap TH pada 23 Disember 2015 bagi memaklumkan kebimbangannya terhadap kedudukan kewangan institusi tersebut.
RCI turut merumuskan bahawa sekiranya Piawaian Pelaporan Kewangan Malaysia dipatuhi sepenuhnya, TH sepatutnya merekodkan kerugian bersih RM1.4 bilion bagi tahun kewangan 2017, bukannya keuntungan RM3.4 bilion seperti yang diumumkan ketika itu.
Menurut suruhanjaya itu, TH tidak merekodkan rosot nilai terhadap beberapa pelaburan selain mengiktiraf pendapatan dividen yang belum diterima, sekali gus menyebabkan prestasi kewangannya kelihatan lebih baik daripada kedudukan sebenar.
Laporan itu turut menyatakan pembayaran hibah yang tinggi antara 2014 hingga 2017 menjadi antara faktor yang menyumbang kepada kemerosotan kedudukan kewangan TH kerana ia melebihi kemampuan sebenar institusi berkenaan.
Pendedahan itu sekali gus mengembalikan perhatian terhadap kenyataan Asyraf pada 2016 yang mempertikaikan tafsiran terhadap kebimbangan BNM.
Walaupun laporan RCI tidak mengaitkan Asyraf dengan sebarang salah laku atau meletakkan tanggungjawab ke atas beliau, penemuan suruhanjaya itu memberi konteks baharu terhadap kenyataan yang dibuatnya ketika mempertahankan kedudukan kewangan TH.
Semalam, kerajaan bersetuju menyahklasifikasikan laporan RCI Tabung Haji bagi tempoh 2014 hingga 2020 serta membentangkannya untuk dibahaskan dalam sidang khas Dewan Rakyat.
Laporan berkenaan turut menggariskan 25 syor penambahbaikan, dengan kerajaan memaklumkan kira-kira 75 peratus daripadanya telah dilaksanakan oleh pengurusan tertinggi TH.
Pendedahan itu dijangka terus mencetuskan perbahasan mengenai tahap tadbir urus, ketelusan dan kebertanggungjawaban dalam pengurusan institusi kewangan Islam terbesar negara, khususnya melibatkan simpanan jutaan pendeposit.
BACA JUGA ‘Sehari seorang penagih’ bukan suka-suka, KDN dedah sebab Kelantan jadi sasaran