Selepas desakan bertahun-tahun, KKM akhirnya dapat 13,343 jawatan baharu
Kerajaan meluluskan 13,343 jawatan baharu tanpa tukar ganti di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi memperkukuh sistem kesihatan awam, sekali gus menyokong pengoperasian ratusan fasiliti kesihatan baharu dan yang telah dinaik taraf di seluruh negara.
Langkah itu melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM1.25 bilion setahun dan disifatkan sebagai antara usaha terbesar kerajaan dalam meningkatkan kapasiti penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada rakyat.
Daripada jumlah keseluruhan jawatan yang diluluskan, 7,218 melibatkan lima skim perkhidmatan utama, iaitu:
- 1,197 Pegawai Perubatan;
- 239 Pegawai Pergigian;
- 339 Pegawai Farmasi;
- 3,471 Jururawat; dan
- 1,972 Penolong Pegawai Perubatan.
Baki 6,125 jawatan pula membabitkan pelbagai skim perkhidmatan lain yang menyokong operasi dan penyampaian perkhidmatan kesihatan.
Menurut kenyataan kerajaan hari ini, jawatan-jawatan tersebut akan menyokong operasi 256 fasiliti kesihatan baharu serta fasiliti yang telah dinaik taraf.
Sejak 2019, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah memperakukan sebanyak 66,312 jawatan baharu tanpa tukar ganti kepada KKM bagi memenuhi keperluan sistem kesihatan negara yang semakin meningkat.
Dalam perkembangan sama, kerajaan turut mengumumkan langkah memperkukuh pelaksanaan Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35) menerusi pemerkasaan Unit Pemerkasaan Bumiputera (UPB) di semua kementerian.
Pengukuhan itu akan dilaksanakan melalui Pekeliling Am Bilangan 2 Tahun 2025 bagi memperkemaskan penyelarasan, pemantauan dan pelaksanaan 132 ikhtiar PuTERA35 di seluruh kementerian dan agensi kerajaan.
Antara langkah yang diambil ialah penjenamaan semula Unit Pemerkasaan Agenda Bumiputera (UPAB) kepada Unit Pemerkasaan Bumiputera (UPB) serta meletakkannya di bawah penyeliaan Timbalan Ketua Setiausaha yang bertanggungjawab terhadap dasar dan perancangan strategik kementerian.
Kerajaan berkata kedua-dua langkah strategik itu mencerminkan komitmen berterusan untuk memperkukuh keupayaan sektor awam sebagai pemacu pembangunan negara.
Menurut kenyataan itu, pengukuhan sistem kesihatan awam dan pelaksanaan PuTERA35 yang lebih tersusun dijangka meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan, memperkukuh tadbir urus serta memastikan manfaat pembangunan dapat dinikmati secara lebih inklusif oleh rakyat.