Kenapa pula dipecat CEO cemerlang? Ahli Parlimen Bangi tuntut jawapan bekas menteri
Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Tabung Haji mencetuskan persoalan baharu apabila dua bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) didesak menjelaskan keputusan menamatkan khidmat dua pemimpin tertinggi Lembaga Tabung Haji (LTH) walaupun mereka didapati menjalankan tugas dengan baik.
Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan berkata, laporan RCI jelas merumuskan bahawa bekas Ketua Pegawai Eksekutif LTH, Datuk Nik Mohd Hasyudeen Yusoff, dan bekas Pengerusi LTH, Tan Sri Md Nor Md Yusuf telah memberikan perkhidmatan yang baik serta melaksanakan pelbagai penambahbaikan terhadap institusi itu.
Menurutnya, RCI turut mendapati kedua-dua mereka ditamatkan perkhidmatan sebelum tamat tempoh pelantikan masing-masing tanpa sebab yang jelas.
“RCI mendapati Datuk Nik Mohd Hasyudeen ditamatkan perkhidmatan pada 5 Mei 2021 sebelum tamat tempoh sebenar perkhidmatannya.
“Manakala Tan Sri Md Nor pula ditamatkan perkhidmatan pada Oktober 2021 sebelum tamat tempoh kontraknya,” katanya dalam satu kenyataan.
Syahredzan berkata, lebih mengejutkan apabila laporan RCI mendapati penamatan kedua-dua individu itu dibuat secara mengejut dan tanpa alasan, selain bercanggah dengan penjelasan rasmi yang diberikan kepada umum ketika itu.
“Sebagai contoh, sebelum ini dilaporkan bahawa Tan Sri Md Nor melepaskan jawatannya, tetapi RCI mendedahkan beliau sebenarnya diberhentikan,” katanya.
Beliau berkata, kedua-dua tokoh itu dilantik ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH) pada 2018, namun ditamatkan perkhidmatan selepas pertukaran kerajaan susulan Langkah Sheraton.
Menurut Syahredzan, memandangkan RCI turut menyatakan bahawa penamatan mereka memberi kesan terhadap proses pemulihan dan penambahbaikan LTH, rakyat berhak mengetahui asas kepada keputusan tersebut.
“Maka saya menyeru kedua-dua mantan Menteri Hal Ehwal Agama pada ketika itu untuk menjelaskan mengapa khidmat mereka berdua ditamatkan lebih awal.
“Apakah pertimbangan yang mewajarkan mereka ditamatkan perkhidmatan sedangkan RCI mendapati mereka sedang menjalankan tanggungjawab dengan baik,” katanya.
Beliau mengakui menteri mempunyai kuasa budi bicara di bawah Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535), namun menegaskan penggunaan kuasa itu perlu disertakan dengan alasan yang boleh dipertanggungjawabkan kepada rakyat.
“Rakyat berhak tahu mengapa Datuk Nik Mohd Hasyudeen dan Tan Sri Md Nor dibuang tanpa sebab sehingga menjejaskan proses penambahbaikan Tabung Haji.
“Sekurang-kurangnya, berlaku adillah kepada mereka berdua,” katanya
BACA JUGA NGO Melayu N9 bersuara kekalkan Tok Min, tolak politik kebencian