PMX yakin PH kekal di Negeri Sembilan, tapi enggan teka berapa kerusi menang
Keyakinan untuk mempertahankan Negeri Sembilan terus disuarakan Pakatan Harapan (PH) menjelang hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) esok, dengan gabungan itu percaya rekod pentadbiran kerajaan negeri dan kempen sepanjang dua minggu lalu mampu diterjemahkan kepada kemenangan.
Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, gabungan itu optimis mampu mengekalkan mandat yang diberikan rakyat, namun menegaskan keyakinan tersebut tidak bermakna jentera parti mengambil mudah cabaran daripada pihak lawan.
“Kita, insya-Allah, kerja sebaik mungkin dan insya-Allah, kita yakin dapat capai kemenangan,” katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Qaryah Paroi Jaya, hari ini.
Menurut Perdana Menteri, tumpuan utama ketika ini adalah memastikan proses pengundian berlangsung dengan lancar, aman dan mendapat kerjasama semua pihak.
“Yang penting, kita tumpu. Selepas itu, biar keadaan terkawal baik, kerjasama dengan semua pihak,” katanya.
Ditanya mengenai jumlah kerusi yang dijangka dimenangi PH, Anwar enggan membuat sebarang ramalan.
“Itu kena tanya Aminuddin Harun,” katanya ringkas.
Sebelum ini, beliau turut mengingatkan bahawa keputusan pilihan raya tidak ditentukan oleh kajian atau unjuran semata-mata, sebaliknya bergantung kepada kebijaksanaan rakyat yang keluar mengundi.
PRN Negeri Sembilan ke-16 menyaksikan pertandingan bagi kesemua 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), dengan hari pengundian ditetapkan esok.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyasarkan keputusan terawal akan mula diperoleh seawal jam 10 malam, manakala keputusan penuh dijangka dapat diketahui sebelum tengah malam.
BACA JUGA Tok Min persoal Tok Mat: Dulu runding boleh lulus, kenapa jadi Menteri Pertahanan terus tolak?