‘PH tidak politikkan RCI, kami yang pulihkan Tabung Haji’, Khalid tempelak Umno perlekeh RCI TH

Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (AMANAH), Khalid Abdul Samad membidas sikap pemimpin dan penyokong Umno yang cuba memperlekehkan dapatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Lembaga Tabung Haji hanya kerana laporan itu tidak menggunakan istilah ‘sakau’.

Beliau menyifatkan hujah pihak Umno itu sebagai tidak bertanggungjawab kerana tujuan penubuhan RCI terbabit adalah untuk menyiasat kedudukan kewangan, tadbir urus, salah guna kuasa dan kemungkinan penyelewengan dalam institusi yang menguruskan simpanan umat Islam bagi menunaikan ibadah haji itu.

“Laporan RCI Tabung Haji (TH) itu untuk menyiasat kewangan Tabung Haji. Ini perkara yang serius. Takkanlah hendak ada perkataan ‘sakau’ dalam laporan itu.

“Tetapi apabila pemimpin dan penyokong Umno kata tidak ada pun ‘sakau’ dalam laporan itu, ini menunjukkan mereka memang tidak serius,” katanya dalam program Bicara Haji Khalid Samad yang disiarkan menerusi Jom Channel, malam ini.

Menurut Khalid, perbuatan menjadikan isu tersebut sebagai bahan jenaka memberi gambaran seolah-olah salah urus, penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan terhadap dana pendeposit bukanlah perkara besar.

Beliau berkata, dana TH melibatkan wang berbilion ringgit yang dikumpulkan oleh masyarakat Islam, termasuk penduduk kampung yang menabung selama bertahun-tahun bagi menunggu giliran mengerjakan rukun Islam kelima.

“Duit yang disimpan berbilion itu untuk orang pergi menunaikan haji. Kamu tidak bolehlah ambil kesempatan.

“Ini amat menyedihkan. Tetapi itulah sikap Umno. Apabila sudah melakukan kesalahan atau penyelewengan, mereka buat tidak tahu sahaja,” ujarnya.

Mempolitikkan

Dalam masa sama, Khalid yang juga bekas Ahli Parlimen Shah Alam turut menolak dakwaan bahawa Pakatan Harapan (PH) mempolitikkan laporan RCI TH.

Sebaliknya, beliau berkata, kerajaan PH terdahulu telah mengambil langkah pemulihan bagi memastikan institusi itu kembali stabil selepas berdepan masalah kewangan.

“Yang mempolitikkan laporan RCI TH bukan kami. Kalau hendak politikkan, dari awal lagi kita sudah dedahkan.

“Selepas kita selamatkan, mereka (Umno) pula main-mainkan. Mereka buat jenaka, kata tidak ada ‘sakau’ pun,” katanya.

Beliau turut berkata, tindakan pemulihan TH ketika itu digerakkan oleh Menteri Kewangan kerajaan PH, walaupun tokoh berkenaan terus menjadi sasaran fitnah politik kerana dari DAP.

“Hakikatnya, yang mengambil tindakan pemulihan ialah Menteri Kewangan ketika itu daripada DAP yang menyelamatkan TH.

“Awak hendak fitnah, terpulang. Tetapi sebagai orang Islam, kita kena bertindak adil,” katanya.

Untuk rekod, laporan sama mendapati rizab TH menjadi negatif sejak tahun kewangan 2015 dan memuncak 2017 sehingga memaksa kerajaan PH 1.0 di bawah pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad meluluskan satu pelan penyelamatan bernilai RM19.9 bilion.

Mengulas lanjut, Khalid berpendapat sebahagian pemimpin Umno sebenarnya memahami keseriusan masalah yang berlaku dalam TH.

Namun, beliau berkata, Umno sengaja menggunakan naratif “tiada sakau” untuk mengalihkan perhatian daripada persoalan sebenar mengenai tadbir urus dan penggunaan dana pendeposit.

“Orang Umno sebenarnya tahu wujudnya isu itu dalam TH, tetapi mereka sengaja membawa naratif yang memperlekehkan supaya mereka terlepas.

“Kalau berlaku salah guna dan penyelewengan pun mereka tidak kisah. Mereka anggap kecurian dan rasuah sebagai perkara biasa selagi mereka mendapat manfaat,” kata Khalid lagi.

BACA JUGA Tak pasti nak undi siapa? Semak 10 fakta ini kenapa Nismilan elok dah, kito kekalkan HARAPAN