DKU tamatkan polemik: Tiga individu disahkan bukan Undang yang sah
Dewan Keadilan dan Undang (DKU) Negeri Sembilan mengisytiharkan satu dokumen bertarikh 19 April 2026 sebagai tidak berperlembagaan, sekali gus memutuskan tiga individu yang dikaitkan dengan jawatan Undang tidak mempunyai kedudukan yang sah di sisi undang-undang.
Dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan hari ini, DKU memutuskan bahawa pengumuman tersebut melanggar Perkara X Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 dan oleh itu tidak mempunyai sebarang kesan undang-undang.
DKU turut memutuskan bahawa Haji Mubarak Thahak, Haji Abdul Rahim Haji Yasin dan Dato’ Haji Maarof Mat Rashad masing-masing telah terhenti daripada memegang, atau tidak pernah secara sah memegang jawatan sebagai Undang Luak Sungai Ujong, Undang Luak Rembau dan Undang Luak Jelebu.
Menurut DKU, Undang Luak Sungai Ujong dan Undang Luak Jelebu telah diberhentikan mengikut adat luak masing-masing pada tarikh yang berkenaan, manakala pelantikan bagi Undang Luak Rembau tidak pernah disempurnakan mengikut adat serta tidak melalui Istiadat Menzahirkan Kejadian Undang.
Sehubungan itu, DKU menegaskan ketiga-tiga individu terbabit tidak mempunyai kuasa di sisi undang-undang untuk melaksanakan sebarang fungsi atau kuasa yang diperuntukkan di bawah Perkara X Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
Dalam persidangan yang sama, DKU turut mengesahkan pelantikan Yang Teramat Mulia Dato’ Klana Petra Muhammad Faris Johari sebagai Undang Luak Sungai Ujong dan Yang Teramat Mulia Dato’ Sedia Raja Haji Hassan Ab Hamid sebagai Undang Luak Rembau selepas kedua-duanya melalui Istiadat Menzahirkan Kejadian Undang pada 27 Jun lalu.
Keputusan tersebut dibuat dalam persidangan DKU yang dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, pada 31 Julai, dan kerajaan negeri diarahkan melaksanakan semua keputusan yang dipersetujui oleh dewan itu.
BACA JUGA Selepas RM230 juta, PMX bayang ‘hadiah’ baharu untuk Amanah IkhtiarÂ