PH tinggalkan legasi pentadbiran cemerlang di Negeri Sembilan, Anwar harap legasi diteruskan
Pakatan Harapan (PH) di Negeri Sembilan telah meninggalkan legasi pentadbiran yang cemerlang berteraskan tatakelola baik, kestabilan serta pembangunan yang memanfaatkan rakyat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap legasi cemerlang itu terus diperkukuh demi kemajuan Negeri Sembilan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 kali ini.
Beliau yang juga Pengerusi PH berkata demikian lewat malam tadi ketika menzahirkan ucapan tahniah kepada Barisan Nasional (BN) atas mandat yang diberikan rakyat Negeri Sembilan.
Anwar turut menyatakan tekad bahawa Kerajaan Persekutuan akan terus memberi dukungan dan kerjasama kepada kerajaan Negeri Sembilan yang baharu ditunjangi BN.
“Tahniah kepada Barisan Nasional atas mandat yang diberikan rakyat Negeri Sembilan. Mengucapkan penghargaan setingginya kepada seluruh pengundi yang telah bersungguh-sungguh ikut serta dalam praktik demokrasi yang baru selesai.
“Penghargaan juga kepada seluruh rakyat Negeri Sembilan yang telah memberikan kepercayaan kepada Pakatan Harapan dan Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun sebagai Menteri Besar selama lapan tahun.
“Alhamdulillah, sepanjang tempoh tersebut, Pakatan Harapan telah meninggalkan legasi pentadbiran yang cemerlang berteraskan tatakelola baik, kestabilan serta pembangunan yang memanfaatkan rakyat.
“Semoga legasi ini terus diperkukuh demi kemajuan Negeri Sembilan,” kata beliau menerusi hantaran di media sosial.
Praktik demokrasi
Dalam masa sama, Anwar mengucapkan penghargaan setinggi-tingginya kepada seluruh pengundi yang telah bersungguh-sungguh ikut serta dalam praktik demokrasi pada PRN Negeri Sembilan kali ini.
Keputusan PRN Negeri Sembilan malam tadi menyaksikan PH memenangi 11 kerusi menerusi DAP (sembilan) dan PKR (dua) manakala Parti Amanah Negara (AMANAH) gagal memenangi sebarang kerusi.
Pengerusi PH Negeri dan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun serta Setiausaha Agung DAP yang juga Pengerusi DAP Negeri, Anthony Loke tewas di kerusi masing-masing.
Aminuddin, merangkap Naib Presiden PKR, kalah di DUN Linggi manakala Loke, yang juga Menteri Pengangkutan, gagal mempertahankan DUN Chennah yang disandangnya sejak 2013.
Sementara itu, Barisan Nasional (BN) memenangi 18 kerusi dengan Umno memenangi semua 16 kerusi yang ditandingi diikuti MCA dengan dua kerusi.
Perikatan Nasional (PN) pula memperoleh tujuh kerusi DUN menerusi Pas dan Parti Wawasan Negara (Wawasan) masing-masing menang empat dan tiga kerusi.
BACA JUGA Ibu hamil 7 bulan, anak melecur 60 peratus: Konvoi RXZ bertukar tragedi