Ismail Lasim sah MB baharu Negeri Sembilan selepas PH tinggal rizab RM1.3 bilion
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh, Datuk Ismail Lasim hari ini mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan yang baharu ketika rizab negeri ditinggalkan Pakatan Harapan (PH) mencecah RM1.3 bilion.
Ismail, 67, yang juga Timbalan Pengerusi Umno Negeri Sembilan menyempurnakan upacara angkat sumpah itu pada jam 11.37 pagi di hadapan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Turut menyaksikan istiadat itu, Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud bersama kedua-dua anakanda Tunku Besar Seri Menanti Tunku Ali Redhauddin dan Tunku Zain Al’Abidin.
Hadir sama Undang Luak Sungei Ujong, Datuk Muhammad Faris Johari dan Undang Luak Rembau, Datuk Hassan Ab Hamid.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan semalam, Ismail mengekalkan penguasaan BN di DUN Juasseh dan diumum menang dengan majoriti 4,323 undi menewaskan Mohd Zuhaimi Md Yusof (Bersatu) dan Mohd Aidil Abdullah (PH).
Kerajaan negeri yang baharu di Negeri Sembilan hari ini hasil kerjasama BN dengan Perikatan Nasional (PN) selepas menguasai majoriti 25 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
BN-PN mewarisi asas kewangan yang dibina pentadbiran PH sejak mengambil alih Negeri Sembilan pada 2018, termasuk simpanan kerajaan negeri yang dilaporkan mencecah RM1.3 bilion.
Sebelum ini, bekas Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, simpanan kerajaan negeri meningkat daripada RM1.1 bilion kepada RM1.3 bilion, hasil pentadbiran stabil, dasar yang jelas serta kerjasama erat antara kerajaan negeri dengan Kerajaan Persekutuan.
Kedudukan tersebut turut antara ukuran prestasi pentadbiran PH, selain kejayaan Negeri Sembilan merekodkan pelaburan diluluskan berjumlah RM19.1 bilion pada 2025, yang merupakan pencapaian tertinggi dalam sejarah negeri itu.
BACA JUGA Pas cipta ketakutan, Umno tumpang sentimen membenci DAP