‘Saya pun tidur tak cukup lagi’, MB baharu N. Sembilan jawab kerusi ADUN banyak kosong
“Saya pun tidur pun tak cukup lagi.”
Demikian reaksi Menteri Besar Negeri Sembilan yang baharu, Datuk Ismail Lasim ketika menjawab isu ketidakhadiran beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pada istiadat pelantikan beliau hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh itu berkata, semua ADUN sebenarnya telah dijemput menghadiri Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan oleh Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri.
Namun, beliau berkata, notis jemputan yang dikeluarkan pada saat akhir berkemungkinan menyebabkan sebahagian ADUN tidak dapat hadir kerana sudah mempunyai komitmen lain.
“Ada hal lah tu. Saya pun tidur pun tak cukup lagi.
“Jemputan dibuat oleh Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri. Jemput semua. Cuma mungkin notisnya agak pendek,” lapor Kosmo.
Terdahulu, beberapa kerusi yang dikhaskan kepada ADUN tidak dipenuhi.
Paling mencetuskan spekulasi orang awam apabila kerusi kosong itu turut membabitkan calon Menteri Besar Negeri Sembilan iaitu ADUN Pertang, Datuk Seri Jalaluddin Alias.
Pagi tadi, Ismail Lasim, 67, mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan ke-12 di Balairung Seri Istana Besar Seri Menanti.
Timbalan Pengerusi Umno Negeri Sembilan berkenaan menyempurnakan upacara angkat sumpah itu pada jam 11.37 pagi di hadapan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.