Mujahid kesal, sifatkan BN tikam rakan dengan bahagi kerusi bersama PN

Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa meluahkan rasa kesal terhadap Barisan Nasional (BN) yang disifatkan beliau secara terang-terangan menikam rakan sendiri di Persekutuan.

Beliau mengkritik tindakan BN yang membahagikan kerusi bersama Perikatan Nasional (PN) untuk mengalahkan Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan yang dibentuk bersama sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN).

“Mesej politik kepada rakyat menjadi lebih keliru apabila BN yang merupakan sebahagian komponen Kerajaan Perpaduan telah bersekongkol dengan pembangkang dari PN tetapi menggunakan kelebihan kedudukan mereka sebagai menteri dan lain-lain kedudukan resmi untuk berkempen di Negeri Sembilan.

“”Pakatan Harapan (PH) harus sedar bahawa cita-cita perpaduan yang diharapkan bersama BN telah dirampas oleh cita-cita ketuanan Melayu-Islam yang dibawa oleh PN, dan demi kuasa, BN sanggup meninggalkan cita-cita melihat Malaysia tanpa prejudis dan kebencian kaum-agama. 

“Ini adalah isyarat bahawa PH akan mengharungi laluan mendaki yang sukar jika terus beriltizam untuk istiqamah membawa Malaysia ke politik nilai yang lebih menjaminkan masa depan negara,” katanya dalam satu kenyataan pagi ini.

Beliau berkata, sementara beliau menghormati pilihan pengundi, namun beliau juga melahirkan kebimbangan bahawa parti-parti yang membawa naratif politik beridentitikan kaum dan agama sempit berpotensi menjadikan suasana politik semakin meruncing. 

Jelas beliau, ketidakpercayaan dan kebencian antara kaum dan agama akan semakin melebar, sekali gus menjejaskan kestabilan dan perpaduan yang merupakan kunci kepada kemakmuran negara.

Beliau tertanya adakah selepas ini akan berlaku pensejajaran semula untuk memenangkan politik nilai daripada politik perkauman.

“Apakah akan berlaku pensejajaran semula untuk memenangkan politik nilai daripada politik perkauman? 

“PH harus bermuhasabah ke dalam dan mencari di mana kelemahannya sementara pada waktu yang sama mereka juga perlu membina kekuatan baharu untuk menggerakkan momentum bagi pilihanraya umum yang akan datang,” kata beliau.

BACA JUGA Siapa ADUN didakwa muflis, hilang kelayakan wakil rakyat? Ini respon Amirudin