Jangan berteduh sambil asah kapak, hala tuju BN bersama PN dicurigai
Barisan Nasional (BN) digesa menjelaskan kepada rakyat sama ada kerjasama politiknya dengan Perikatan Nasional (PN) menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka merupakan strategi pilihan raya semata-mata atau langkah yang akhirnya boleh menyabotaj Kerajaan Perpaduan.
Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Mahfuz Omar berkata, kenyataan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengenai hasrat meneruskan kerjasama BN-PN telah menimbulkan persoalan serius tentang komitmen sebenar parti itu terhadap Kerajaan MADANI.
Beliau merujuk kenyataan Ahmad Zahid bahawa “gelombang biru dan biru pekat akan menular ke Melaka”, yang dilihat memberi gambaran kerjasama antara BN dan PN bakal diteruskan dalam pilihan raya negeri yang berjiran dengan Negeri Sembilan itu.
Menurut Mahfuz, isu itu tidak lagi boleh dianggap sebagai percaturan pilihan raya semata-mata kerana BN masih menjadi sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan di Putrajaya.
“Persoalan yang lebih besar ialah bagaimana langkah tersebut selari dengan kedudukan BN sebagai sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan.
“Adakah Umno-BN masih komited sepenuhnya kepada semangat Kerajaan Perpaduan yang dibentuk di Putrajaya?” soalnya dalam kenyataan hari ini.
Menjatuhkan Kerajaan Perpaduan
Beliau turut mempersoalkan bagaimana BN mahu menjelaskan kerjasama dengan PN kepada rakyat, sedangkan gabungan pembangkang itu secara terbuka berkempen menentang Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, serta berusaha menjatuhkan Kerajaan Perpaduan.
“Adakah ini pakatan baharu BN-PN sebagai gerakan sabotaj terhadap Kerajaan MADANI?” bidasnya.
Mahfuz berkata, BN tidak boleh mengharapkan rakyat mempercayai dua pendirian politik yang bergerak dalam arah bertentangan.
“BN tidak boleh meminta rakyat mempercayai dua kompas yang menunjukkan dua arah berbeza.
“Kompas yang baik hanya mempunyai satu arah. Kalau jarumnya berpusing mengikut tempat, orang akan hilang arah,” tegasnya.
Beliau berkata, tindakan parti kerajaan menjalinkan kerjasama dengan pihak yang mahu menumbangkan pentadbiran semasa turut menimbulkan tanda tanya dalam kalangan rakyat, pelabur dan penjawat awam mengenai kesepaduan kerajaan.
Menurutnya, Malaysia memerlukan kestabilan politik bagi memastikan agenda reformasi, pemulihan ekonomi dan kebajikan rakyat dapat diteruskan dengan yakin serta berkesan.
Dalam suasana ekonomi global yang mencabar, katanya, keyakinan terhadap kestabilan pentadbiran merupakan aset penting negara yang tidak boleh digadaikan demi keuntungan politik jangka pendek.
“Sebarang tindakan atau kenyataan yang menimbulkan persoalan tentang kesepaduan kerajaan boleh mengundang persepsi yang menjejaskan keyakinan terhadap hala tuju pentadbiran negara,” katanya.
Memikul tanggungjawab
Dalam masa sama, Mahfuz menjelaskan beliau tidak mempertikaikan hak BN menentukan strategi atau rakan kerjasama politiknya, termasuk memilih bekerjasama dengan PN.
Namun, jelasnya, selama BN masih menjadi sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan, parti itu turut memikul tanggungjawab memastikan tindakannya tidak menghakis kepercayaan terhadap kerajaan yang sama.
“Kerajaan dibina dengan angka, tetapi keyakinan dibina dengan konsistensi,” katanya.
Sehubungan itu, Mahfuz menggesa kepimpinan BN menjelaskan secara terbuka bagaimana kerjasama pilihan raya dengan PN boleh diselarikan dengan komitmen terhadap Kerajaan Perpaduan.
Mahfuz berkata, sekiranya hala tuju politik BN sudah berubah, rakyat berhak mengetahuinya supaya tidak timbul kekeliruan mengenai arah politik negara.
“Kalau prinsip sudah berubah, jangan biarkan jawatan menjadi alasan untuk terus kekal.
“Jangan berteduh di bawah pokok yang sama, tetapi pada masa yang sama mengasah kapak pada batangnya,” sindirnya.
Tegasnya lagi, Malaysia memerlukan politik yang membina keyakinan dan bukannya mencetuskan kekeliruan berpanjangan.
“Rakyat tidak hanya menilai siapa yang menang pilihan raya. Rakyat juga menilai siapa yang konsisten memegang prinsip dan siapa yang berani menjelaskan pendiriannya,” katanya.
BACA JUGA DAP dah disingkir, Tok Min pun jatuh, BN-PN masih mahu lawan pilihan Yamtuan?