Lagi kes rakyat Malaysia ditahan seludup hampir 1kg dadah ke Indonesia
Selepas kes seorang juruterbang Malaysia Airlines ditahan atas kes penyeludupan dadah, seorang lagi rakyat Malaysia ditahan oleh pihak berkuasa Indonesia selepas menemui hampir satu kilogram (kg) dadah yang disembunyikan di dalam korset yang dipakainya.
Menurut laporan, pihak berkuasa Indonesia menemui hampir satu kilogram (kg) methamphetamine dan lebih 1,000 pil ekstasi ketika memeriksa suspek di Lapangan Terbang Antarabangsa Juanda di Sidoarjo.
Menurut pihak berkuasa, pegawai menemui empat bungkusan yang mengandungi gabungan 990 gram methamphetamine dan empat bungkusan yang mengandungi 1,089 pil ekstasi yang disembunyikan di bawah korset yang dibalut pada badannya.
Memetik Berita Harian, suspek memberitahu pegawai penyiasat bahawa dia bersetuju bekerja sebagai penghantar untuk rangkaian dadah antarabangsa kerana dia sedang bergelut dengan masalah kewangan dan mempunyai hutang.
“Suspek cuba menyembunyikan narkotik itu di bawah korset yang dipakainya untuk mengelakkan pemeriksaan. Bagaimanapun, cubaan itu digagalkan,” kata Komander Pangkalan Udara Tentera Laut Juanda, Kolonel Henoch Nasairus Virzawan.
Pihak berkuasa menganggarkan dadah dirampas itu mempunyai nilai pasaran sekitar Rp2.79 bilion (RM715,000).
Mereka berkata, rampasan itu berpotensi menghalang dadah itu daripada sampai kepada kira-kira 6,584 pengguna.
Sementara itu, pihak berkuasa Indonesia menegaskan akan terus memperketat kawalan keselamatan di pintu masuk negara serta meningkatkan kerjasama antara agensi bagi membanteras cubaan penyeludupan dadah melalui laluan udara.
Suspek disiasat mengikut Perkara 113(2) Undang-Undang Nombor 35 Tahun 2009 mengenai Narkotik yang memperuntukkan hukuman mati, penjara seumur hidup atau penjara antara lima hingga 20 tahun jika disabitkan kesalahan
BACA JUGA Siasatan RCI Tabung Haji: SPRM tahan pengarah sebuah syarikat disyaki terlibat rasuah