Melampaunya Exco Pemuda Umno sindir ‘tahlil pemakaman Loke’

Sindiran melampau seorang Exco Pemuda Umno yang mengaitkan amalan tahlil dengan kononnya “pemakaman” Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke mengundang kecaman orang ramai.

Terdahulu, Wan Muhammad Zuhir Ghazali menerusi hantaran di media sosial menulis secara sinis: “Tengah tahlil atas pemakaman Loke di (DUN) Chennah. Salam takziah.”

Sindiran Wan Zuhir itu dipercayai dibuat susulan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Bagaimanapun, penggunaan istilah tahlil dan pemakaman untuk meraikan nasib politik seseorang dilihat ramai pihak sebagai melampaui batas, selain mempermainkan amalan keagamaan.

Rata-rata meluahkan rasa bimbang melihat sikap politik Umno-BN yang kini semakin ketara menghina, melabel dan mempermainkan unsur agama.

Ramai berpendapat pemimpin muda sepatutnya menunjukkan contoh politik matang serta beradab.

Jahil murakkab

Antaranya, pengguna Facebook, Syed Mohd Nazli Jamalullail menyifatkan kenyataan berkenaan sebagai perlakuan keji serta penghinaan terhadap agama.

“Ini sangat melampau dan jahil murakkab. Ini perlakuan yang sangat keji dan satu penghinaan terhadap agama.

“Politik telah menjadikan mereka hilang maruah dan kewarasan berfikir!

“Kenyataan ini kalau dari PH, boleh karam negara dengan komen perkauman mereka!” katanya.

Sementara itu, pemerhati politik, Norman Radzuan turut terkejut dengan tindakan pemuda Umno berkenaan sehingga mempersoalkan sama ada agama Islam pernah mengajar umatnya bertindak sedemikian.

Fuh, betul-betul punya ekstrem. Islam ajar ke begini? Tak tahulah, saya rasa dah jauh sangat ini. Inilah yang kita bimbangkan… ya.

Menurut Norman, perbezaan parti politik sepatutnya tidak menyebabkan seseorang menjadi terlalu taksub sehingga hilang sifat kewarasan dalam menilai sesuatu perkara.

Tegasnya, parti politik hanyalah wadah untuk membawa suara rakyat melalui wakil yang dipilih dan bukannya alasan untuk membenci atau meraikan kejatuhan pihak lain secara melampau.

“Bila ekstrem, ia akan jadi taksub dan hilang sifat toleransi, kemudian membuta tuli dalam menerima sesuatu pendapat tanpa usul periksa.

“Akibatnya, ia boleh merosakkan hubungan sosial dan membawa kepada perpecahan dalam masyarakat,” kata Norman lagi.

BACA JUGA Faiz bidas PN, ‘PH kritik naratif perkauman PN-BN, bukan tuduh rakyat’