Dulu kata tiada ‘sakau’, kini polis buka 5 kertas siasatan RCI TH

Polemik Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji kini memasuki fasa siasatan jenayah komersial apabila polis membuka lima kertas siasatan susulan sembilan laporan yang diterima daripada Lembaga Tabung Haji (TH), anak syarikatnya dan orang awam.

Perkembangan itu sekali gus memberi dimensi baharu terhadap perdebatan sebelum ini, khususnya selepas beberapa pihak mempertahankan bahawa laporan RCI tidak membuktikan wujud salah laku jenayah atau penyelewengan dalam pengurusan institusi berkenaan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, laporan yang diterima itu merangkumi kes jenayah komersial, termasuk perkara-perkara yang dibangkitkan dalam Laporan RCI Tabung Haji.

Menurutnya, polis kini sedang mengambil tindakan lanjut bagi melengkapkan siasatan.

“Bagi melengkapkan siasatan, tindakan sedang diambil untuk merakam keterangan saksi dari dalam dan luar negara selain mendapatkan dokumen berkaitan bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Rusdi berkata, polis memberi jaminan bahawa siasatan akan dijalankan secara bebas, telus dan profesional.

“Polis komited untuk memastikan setiap siasatan dijalankan secara bebas, telus, profesional dan berlandaskan undang-undang.

“Mana-mana pihak yang didapati terlibat dalam sebarang perlakuan jenayah akan diambil tindakan sewajarnya mengikut peruntukan undang-undang,” katanya.

Laporan RCI Tabung Haji sebelum ini mencetuskan perdebatan politik apabila beberapa pemimpin Umno menegaskan laporan tersebut tidak menamakan mana-mana pemimpin parti itu sebagai terbabit dalam penyelewengan.

Mereka turut mempersoalkan penggunaan istilah seperti “sakau” dalam perbahasan politik, dengan alasan perkataan itu tidak disebut secara literal dalam laporan RCI.

Namun, perkembangan terbaru ini menunjukkan isu tersebut tidak lagi terhenti pada perdebatan istilah politik semata-mata.

Dengan lima kertas siasatan dibuka, perkara yang dibangkitkan dalam RCI kini memasuki proses siasatan rasmi pihak berkuasa, termasuk penelitian terhadap dokumen dan keterangan saksi.

Bagaimanapun, polis belum memperincikan individu atau entiti yang menjadi fokus siasatan.

Dalam kenyataan sama, Rusdi turut mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih berhubung siasatan yang sedang berjalan.

“Sebarang kenyataan atau penyebaran maklumat yang tidak berasaskan fakta bukan sahaja boleh mengelirukan masyarakat, malah berpotensi menjejaskan proses siasatan,” katanya.

Beliau berkata, orang ramai perlu memberi ruang kepada polis untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh tanpa gangguan spekulasi.

Perkembangan ini dijangka terus menjadi perhatian memandangkan Tabung Haji merupakan institusi penting umat Islam yang mengurus simpanan pendeposit bagi tujuan menunaikan haji.

Isu itu juga menjadi lebih sensitif susulan dapatan RCI yang sebelum ini membangkitkan persoalan berkaitan tadbir urus, pengurusan kewangan dan keputusan-keputusan penting dalam operasi TH bagi tempoh yang disiasat.

Setakat ini, polis belum menyatakan bila siasatan dijangka selesai.

BACA JUGA ANALISIS | Dah 2026, Kedah masih bergelut air: Putrajaya topup RM50 juta selamatkan LRA ‘sangkut’