KJ baru mengaku lepas PRN? Netizen persoal kenapa tak tegur Akmal pertahan Naratif ‘tiada sakau’
Pengakuan bekas Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin bahawa wujud kegagalan tadbir urus dalam Lembaga Tabung Haji (TH) ketika pentadbiran Barisan Nasional (BN) mengundang persoalan baharu mengapa pendirian itu hanya disuarakan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan berakhir?
Seorang pengguna media sosial, Mohd Munsif, mempersoalkan sikap Khairy yang menurutnya tidak menegur Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh ketika kempen PRN, walaupun Akmal lantang mempertahankan bahawa laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji tidak membuktikan pemimpin Umno “sakau” dana institusi berkenaan.
“Bijak KJ, nak elak dia kena jawab isu ini pada masa hadapan, dia mengaku terus, cuma selepas PRN sahajalah.
“Sebelum PRN, dibiarkan sahaja Ketua Pemuda Umno, Akmal tolong merapu seolah-olah tiada isu dengan Tabung Haji,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Kenyataan itu merujuk kepada pandangan Khairy dalam podcast Keluar Sekejap, apabila beliau berkata sudah tiba masanya Umno mengakui kelemahan dalam tadbir urus TH seperti yang didedahkan dalam laporan RCI.
Khairy berkata, beliau memahami mengapa beberapa pemimpin Umno mengambil sikap mempertahankan parti ketika kempen pilihan raya, termasuk menafikan berlaku salah laku atau rasuah dalam pengurusan TH.
Namun, katanya, pendirian terlalu defensif itu tidak membantu imej Umno sebagai parti yang mahu dilihat serius membawa pembaharuan.
“Saya tidak harap mereka ambil pandangan saya ketika kempen pilihan raya. Mungkin untuk kempen pilihan raya, kita terpaksa cakap tidak ada sakau, kita beri hibah yang lebih dan kekalkan subsidi haji untuk muassasah dan sebagainya.
“Bagaimanapun, apa yang saya nak lihat sekarang, mungkin menjelang Perhimpunan Agung Umno (PAU), saya rasa sudah tiba masanya untuk Umno jujur mengenai perkara itu dan katakan ada kegagalan tadbir urus.
“Jika kita ambil pendirian itu, orang akan kata sekurang-kurangnya Umno ada sedikit bibit perubahan untuk membawa parti ke arah pemulihan kerana mereka mengaku,” katanya.
Polemik RCI Tabung Haji sebelum ini menjadi panas ketika kempen PRN Negeri Sembilan apabila beberapa pemimpin Umno menolak dakwaan bahawa laporan itu membuktikan berlaku penyelewengan oleh pemimpin parti.
Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh, antara yang paling lantang mempersoalkan dakwaan tersebut.
Beliau menegaskan bahawa laporan RCI tidak menamakan mana-mana pemimpin Umno terbabit dalam penyelewengan.
“Jadi siapa pemimpin Umno yang dikatakan ‘sakau’ dana Tabung Haji?” soalnya.
Akmal berkata, laporan RCI sebaliknya hanya menunjukkan kelemahan dalam aspek pengurusan dana.
“Jadi adakah kerugian itu berpunca daripada rasuah atau kelemahan pengurusan oleh kakitangan pentadbiran?
“Adakah pemberian hibah yang tinggi kepada pendeposit dan subsidi haji yang tinggi kepada jemaah dianggap sebagai ‘sakau’?” katanya.
Namun, bagi pengkritik, hujah “tiada perkataan sakau” itu dilihat terlalu sempit kerana laporan RCI tetap mendedahkan isu besar berkaitan tadbir urus, kedudukan kewangan dan kaedah pelaporan TH ketika era pentadbiran lama.
Laporan RCI mengenai pengurusan dan operasi TH bagi tempoh 2014 hingga 2020 telah dinyahklasifikasikan serta didedahkan kepada umum baru-baru ini.
Antara dapatan utama yang menjadi perhatian ialah dakwaan bahawa TH tidak menggambarkan kedudukan kewangan sebenar selama beberapa tahun.
TH sebelum ini dilaporkan mencatat keuntungan RM3.4 bilion pada 2017. Namun, berdasarkan dapatan RCI, jika piawaian perakaunan yang betul digunakan, institusi itu sepatutnya merekodkan kerugian bersih RM1.4 bilion perbezaan hampir RM4.8 bilion.
Mohd Munsif berkata, pendirian Khairy yang hanya dibuat selepas PRN membuka ruang kepada persoalan sama ada bekas Ahli Parlimen Rembau itu sengaja mengelak daripada bercanggah dengan naratif Umno ketika kempen berlangsung.
Menurutnya, sekiranya Khairy benar-benar mahu Umno mengambil jalan reformasi, teguran terhadap sikap defensif parti itu sepatutnya dibuat lebih awal, terutama ketika isu RCI TH sedang dipertahankan secara agresif oleh pimpinan parti.
Dalam podcast sama, bekas Ketua Penerangan Umno, Shahril Hamdan turut berkata kontroversi itu sebenarnya memberi peluang kepada Umno untuk menunjukkan kematangan politik dengan mengakui kelemahan sendiri.
Katanya, Umno tidak boleh menganggap gelombang sokongan semasa sebagai bukti parti itu tidak lagi perlu melakukan reformasi, memohon maaf atau memperbaiki kelemahan.
Bagi pengkritik, pengakuan Khairy bahawa wujud kegagalan tadbir urus menjadikan pertahanan sebahagian pemimpin Umno ketika kempen PRN kelihatan semakin sukar dipertahankan.
Persoalan kini bukan lagi sekadar sama ada perkataan “sakau” wujud dalam laporan RCI, tetapi sama ada Umno bersedia mengakui bahawa pengurusan TH pada era lama memang mempunyai kelemahan serius yang perlu dijawab secara jujur.
BACA JUGA ANALISIS | Dah 2026, Kedah masih bergelut air: Putrajaya topup RM50 juta selamatkan LRA ‘sangkut’