Selepas 10 kali dipanggil SPRM, Ismail Sabri akhirnya ke mahkamah pagi ini

Selepas sekurang-kurangnya 10 kali dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akhirnya akan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pagi ini.

Pertuduhan terhadap bekas Perdana Menteri berkenaan akan dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin pada jam 9 pagi, menurut semakan sistem mahkamah.

Kes melibatkan Ahli Parlimen Bera merangkap Ketua Umno Bahagian Bera berusia 66 tahun itu difahamkan berhubung pengisytiharan harta.

Sehingga 7 Mei 2025, Ismail dilaporkan sudah menjalani sekurang-kurangnya 10 sesi soal siasat dengan SPRM.

Pada 2 Mac 2025, SPRM mengesahkan telah merampas wang tunai RM170 juta dalam pelbagai mata wang asing termasuk Baht, Riyal, Pound Sterling, Won, Euro, Swiss Franc dan Yuan.

Sebanyak 16 kilogram jongkong emas tulen dianggarkan bernilai RM7 juta turut disita.

Rampasan tersebut berhubung siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram terhadap ayah kepada penyanyi dan pelakon, Dafi itu.

Hasil rampasan itu diperoleh semasa penggeledahan di kediaman dan pejabat yang dipercayai dijadikan ‘rumah selamat’ selepas siasatan ke atas empat pegawai kanan Ismail Sabri yang ditahan pada Februari 2025.

BACA JUGA Politik identiti jadi trend global, PH dinasihat bina naratif baharu tembusi akar umbi