Sasar 1 juta rumah mampu milik, KPKT mahu harga ikut poket rakyat setempat

Kerajaan MADANI menyasarkan penyediaan 1 juta rumah mampu milik menjelang 2035 menerusi Dasar Perumahan Negara (DRN) 2026–2035 yang dilancarkan hari ini.

Dasar berkenaan dirasmikan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming di KLGCC Convention Centre, Kuala Lumpur.

KPKT dalam kenyataan berkata DRN 2026–2035 akan menjadi hala tuju pembangunan sektor perumahan negara untuk tempoh 10 tahun akan datang.

Berteraskan tema “Pemerkasaan Kemanusiaan dalam Perumahan” atau Humanising Housing, dasar itu mengubah pendekatan pembangunan rumah daripada sekadar membina kediaman kepada membentuk komuniti yang lebih berkualiti, selamat, inklusif, mampan dan berdaya huni.

Menurut KPKT, dasar itu dirangka selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI, Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

DRN 2026–2035 dirangka bagi menangani beberapa cabaran utama sektor perumahan negara termasuk peningkatan kos sara hidup, perubahan demografi, ketidaksepadanan antara penawaran dan permintaan, lambakan rumah tidak terjual serta projek perumahan lewat, sakit dan terbengkalai.

Dasar itu disokong oleh enam fokus, 17 strategi dan 59 pelan tindakan.

Antara pembaharuan utama yang diperkenalkan ialah memastikan harga rumah mampu milik lebih selaras dengan pendapatan dan keperluan penduduk setempat.

KPKT turut akan memanfaatkan analitik data raya atau Big Data Analytics bagi memastikan perancangan pembangunan perumahan dibuat berdasarkan permintaan sebenar, bukan sekadar unjuran umum.

Bagi memperluas akses pemilikan rumah, kerajaan turut memperkenalkan beberapa pendekatan termasuk Skim Sewa untuk Milik (RTO), Pemilikan Bersama (Shared Ownership), Pembiayaan Perumahan Kadar Tetap (Fixed Rate Mortgage) dan Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP).

Selain itu, kerajaan juga akan menggubal Akta Sewaan Kediaman bagi mewujudkan pasaran sewaan yang lebih telus, selamat dan seimbang.

Dasar itu turut menggalakkan pembangunan berorientasikan transit (TOD), memperkasakan Standard Perumahan Kebangsaan, penggunaan teknologi pembinaan moden serta pensijilan hijau.

KPKT turut memberi tumpuan kepada perlindungan pembeli melalui pelaksanaan berfasa sistem Bina Kemudian Jual (BKJ), penggubalan Akta Pemaju Harta Tanah baharu serta pengenalan mekanisme Option to Purchase dan Sunset Clause.

Rumah mesra warga emas dan OKU

DRN 2026–2035 turut memberi penekanan kepada penyediaan perumahan lebih inklusif, termasuk kediaman mesra warga emas dan orang kurang upaya (OKU).

Dalam masa sama, tadbir urus pengurusan strata akan diperkukuh melalui pindaan Akta Pengurusan Strata 2013 serta pemerkasaan Badan Pengurusan Bersama (JMB), Perbadanan Pengurusan (MC) dan Pesuruhjaya Bangunan (COB).

Nga berkata dasar itu bukan sekadar pelan pembangunan sektor perumahan, tetapi komitmen kerajaan untuk memastikan rakyat mempunyai akses kepada kediaman berkualiti dan mampu dimiliki.

“Perumahan yang berkualiti bukan sekadar menyediakan tempat berteduh, malah menjadi asas kepada pembentukan keluarga yang sejahtera, komuniti yang harmoni dan pembangunan negara yang mampan,” katanya.

Beliau berkata KPKT akan terus memperkukuh kerjasama strategik bersama kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan, institusi kewangan, pemaju hartanah serta semua pihak berkepentingan.

Katanya, kerjasama itu penting bagi memastikan setiap inisiatif di bawah DRN 2026–2035 dapat dilaksanakan secara berkesan dan memberi manfaat nyata kepada rakyat.

KPKT berkata pelaksanaan dasar itu dijangka menjadi pemangkin transformasi sektor perumahan negara dengan mewujudkan ekosistem yang lebih cekap, mampan dan berdaya tahan.

Dasar itu juga akan menjadi dokumen rujukan utama kepada kementerian, agensi, kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan dan pemain industri dalam merancang pembangunan perumahan negara sehingga 2035.

BACA JUGA Mesyuarat khas bahas laporan RCI Tabung Haji esok, Wanita PKR adakan himpunan depan Parlimen