Nak bahas PMX atau Tabung Haji? Anwar tempelak PN ‘main drama’
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menempelak Perikatan Nasional(PN) yang diterajui Pas yang didakwanya cuba mengalihkan perhatian daripada isu sebenar Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji kepada dirinya.
Dalam hantaran di Facebook hari ini, Anwar mempersoalkan sama ada pihak terbabit mahu membahaskan isu peribadinya atau mahu memberi tumpuan kepada pendedahan berkaitan Tabung Haji.
“Nak bahas tentang saya, atau nak bahas tentang Tabung Haji?
“Nak ambil tahu tentang saya, atau nak ambil tahu tentang pengkhianatan terhadap Tabung Haji?” katanya.
Kenyataan itu dibuat ketika Dewan Rakyat mengadakan sidang khas bagi membahaskan laporan RCI Tabung Haji, yang sebelum ini dijadual bermula 10 pagi dan berlangsung sehingga selesai.
Anwar berkata isu Tabung Haji menyentuh kepentingan orang Melayu Islam, khususnya golongan biasa yang menyimpan wang bertahun-tahun untuk menunaikan rukun Islam kelima.
“Orang Melayu Islam telah dikhianati, tapi masih ada yang mahu main drama politik?
“Apatah lagi datang dari pihak yang melaung-laungkan tentang Melayu Islam,” katanya.
Beliau turut mempersoalkan pendirian PN yang ditunjangi Pas dalam mempertahankan kepentingan rakyat susah, termasuk nelayan, petani, guru, polis, tentera dan pesara yang menyimpan wang di Tabung Haji.
“Apakah PN yang ditunjangi Pas tidak pentingkan kepentingan orang susah, nelayan, petani, guru, polis, tentera, pesara yang mengerah keringat untuk menyimpan wang dalam Tabung Haji untuk menunaikan Rukun Islam kelima?” soalnya.
Laporan RCI Tabung Haji menjadi tumpuan selepas kerajaan bersetuju menyahklasifikasi dan mendedahkannya kepada umum.
Sebelum ini, Jemaah Menteri bersetuju mendedahkan laporan RCI yang meliputi tempoh 2014 hingga 2020, dengan laporan itu menggariskan 25 syor penambahbaikan dan 75 peratus daripadanya telah dilaksanakan oleh pengurusan tertinggi Tabung Haji.
Antara dapatan paling besar ialah Tabung Haji sepatutnya merekodkan kerugian bersih RM1.4 bilion pada 2017, bukannya keuntungan RM3.4 bilion seperti dilaporkan dalam penyata kewangan tahun berkenaan.
Laporan media turut menyebut RCI mendapati amalan perakaunan lemah dan pengaruh politik menjadi antara isu yang membelenggu kedudukan kewangan TH ketika itu.
Isu RCI TH sebelum ini menjadi polemik apabila beberapa pemimpin pembangkang dan Umno mempertikaikan penggunaan istilah “sakau” dalam perbahasan politik berhubung laporan berkenaan.
Namun, kenyataan terbaru Anwar dilihat cuba mengembalikan fokus kepada isu pokok sama ada wang dan amanah pendeposit Tabung Haji diurus dengan betul, serta siapa yang harus bertanggungjawab terhadap kelemahan yang didedahkan RCI.
Kerajaan sebelum ini menyatakan laporan itu dibawa ke Dewan Rakyat supaya wakil rakyat dapat meneliti dapatan RCI secara terbuka, bukan sekadar membiarkan isu itu menjadi bahan perang kenyataan politik.
Dengan hantaran terbaharu itu, Anwar memberi isyarat bahawa kerajaan mahu perbahasan menumpukan kepada nasib pendeposit dan reformasi institusi, bukannya serangan politik terhadap dirinya.
Bagi penyokong kerajaan, isu ini menjadi ujian kepada PN dan Pas yang sering membawa naratif mempertahankan Melayu-Islam, tetapi kini diasak untuk menjawab persoalan lebih besar: di mana pendirian mereka apabila institusi simpanan haji umat Islam pernah berada dalam kedudukan genting.
BACA JUGA Sidang khas bahas RCI TH kecoh, pembangkang ‘boikot’ keluar Dewan