PN keluar Dewan, Syed Saddiq, 4 Bersatu pilih kekal bahas RCI Tabung Haji
Ketika Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) memilih meninggalkan Dewan Rakyat, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman kekal di dalam Dewan bagi mengambil bahagian dalam perbahasan khas Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji hari ini.
Tindakan itu menjadikan beliau antara suara bukan kerajaan yang tidak bersama langkah PN selepas permohonan blok pembangkang supaya sidang khas berkenaan ditangguhkan tidak diterima Speaker.
Sidang khas Dewan Rakyat itu diadakan khusus bagi membahaskan laporan RCI Tabung Haji, selepas kerajaan bersetuju menyahklasifikasi laporan berhubung pengurusan dan operasi institusi itu bagi tempoh 2014 hingga 2020.
Menurut maklumat awal, Ahli Parlimen PN meninggalkan Dewan beramai-ramai selepas keputusan untuk meneruskan sidang khas kekal dibuat, manakala hanya beberapa wakil Bersatu dilihat masih berada dalam Dewan.
Difahamkan, yang tinggal daripada blok Bersatu ketika perbahasan itu diteruskan ialah empat orang, sekali gus mencetuskan gambaran bahawa pendirian pembangkang sendiri tidak sepenuhnya seragam dalam isu RCI Tabung Haji.
Berbeza dengan tindakan keluar Dewan, Syed Saddiq bukan sahaja kekal mengikuti perbahasan, malah turut meminta supaya tempoh perbahasan dipanjangkan bagi memberi lebih banyak ruang kepada Ahli Parlimen meneliti laporan berkenaan.
Pendirian itu dilihat lebih matang oleh pemerhati kerana isu yang dibahaskan membabitkan Tabung Haji, sebuah institusi penting umat Islam yang mengurus simpanan jutaan pendeposit.
Sebelum ini, Syed Saddiq pernah berkata ketiadaan bukti “sakau” dalam laporan RCI tidak bermaksud kepimpinan terdahulu bebas daripada isu kegagalan tatakelola yang serius.
Dalam konteks itu, kehadiran beliau di Dewan hari ini dilihat selari dengan pendirian bahawa laporan RCI perlu dibahaskan secara terbuka, bukan hanya dijadikan bahan sidang media atau perang kenyataan di luar Parlimen.
Ketika sebahagian pembangkang memilih untuk bersuara di luar Dewan, Syed Saddiq menggunakan ruang rasmi Parlimen untuk mengemukakan pandangan dan persoalan secara langsung.
Perbezaan pendekatan itu turut menunjukkan tidak semua Ahli Parlimen bukan kerajaan bersetuju memboikot perbahasan RCI Tabung Haji hanya kerana Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak dapat hadir.
Laporan RCI sebelum ini mendedahkan kelemahan tadbir urus, termasuk isu campur tangan politik dalam pengurusan dan agihan keuntungan Tabung Haji, selain mengemukakan syor penambahbaikan terhadap institusi berkenaan.
Dengan tindakan PN keluar Dewan, tumpuan kini bukan sahaja kepada dapatan RCI, tetapi juga kepada persoalan sama ada pembangkang benar-benar mahu membahaskan isu amanah haji di medan yang sepatutnya.
BACA JUGA Sidang khas bahas RCI TH kecoh, pembangkang ‘boikot’ keluar Dewan