‘Ini isu penting untuk rakyat, tak perlu drama politik’ – Bersatu sindir Pas keluar Dewan
Ketika Ahli Parlimen Pas memilih meninggalkan Dewan Rakyat ketika Sidang Khas membahaskan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji (TH) baru sahaja bermula, Ahli-Ahli Parlimen Bersatu nampaknya mengambil pendirian berbeza dengan kekal mengikuti persidangan.
Pendirian itu sekali gus menimbulkan persoalan terhadap sikap Pas yang seperti memandang remeh perbahasan ini, sedangkan rakannya dalam PN, melihat isu berkenaan cukup penting untuk terus dibahaskan demi pengetahuan rakyat.
Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, Ahli Parlimen Bersatu sebagai wakil pembangkang tidak berhasrat keluar persidangan itu kerana isu Tabung Haji terlalu penting untuk dijadikan drama politik.
“Ahli Parlimen Bersatu adalah pembangkang, kami tidak akan keluar. Ini isu penting untuk rakyat dan tidak perlu ada drama politik.
“Kami juga sudah meminta tempoh perbahasan dilanjutkan. Rakyat perlu mengetahui kebenaran,” katanya pada hantaran di Facebook hari ini.
Kenyataan itu menyusul selepas wakil rakyat Pas keluar beramai-ramai dari Dewan, dan memboikot sidang khas berkenaan.
Persidangan khas itu diadakan bagi membolehkan Ahli Parlimen mendengar penjelasan berhubung laporan RCI berkenaan dan membahaskan penemuannya.
Laporan setebal 211 muka surat itu, yang meneliti pengurusan dan operasi TH antara 2014 hingga 2020, didedahkan kepada umum pada 29 Julai lalu.
Antara penemuan RCI ialah kelemahan tadbir urus, campur tangan politik dalam pengurusan, pembayaran hibah yang tinggi, risiko pelaburan serta isu perakaunan.
BACA JUGA Menteri sahkan lima surat amaran BNM langsung tidak diendah pengurusan TH, kerajaan BN