‘Pendamping dalam setiap keadaan’, Anwar kongsi detik manis Azizah di sisi, rakyat sebak doakan PMX cepat sembuh

Datuk Seri Anwar Ibrahim menarik perhatian warganet apabila berkongsi satu detik penuh kasih bersama isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, menerusi media sosial petang ini.

Dalam hantaran ringkas tetapi cukup menyentuh hati itu, Perdana Menteri menzahirkan penghargaan kepada Wan Azizah yang terus setia menemaninya dalam apa jua keadaan.

“Pendamping dalam setiap keadaan. Terima kasih, Azizah, kerana sentiasa di sisi. ❤️” tulis beliau.

Bersama hantaran tersebut, Anwar turut memuat naik gambar memperlihatkan Wan Azizah berada di sisinya di sebuah bilik rawatan sambil memegang mesra tangan suaminya.

Gambar itu turut memperlihatkan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkenaan dalam keadaan tersenyum, dengan Wan Azizah juga kelihatan ceria di sisi beliau.

Ia sekali gus mempamerkan keakraban pasangan pemimpin berkenaan yang telah melalui pelbagai episod suka dan duka bersama sepanjang 46 tahun usia perkahwinan mereka.

Perkongsian berkenaan pantas mendapat perhatian orang ramai yang membanjiri ruangan komen dengan doa dan ucapan agar Perdana Menteri segera diberikan kesembuhan serta dipermudahkan segala urusan.

Detik itu turut menyentuh hati sebahagian netizen memandangkan Anwar baru sahaja menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-79 semalam, 10 Ogos.

Seorang pengguna Facebook, Rohani Ariff antara yang mendoakan kesihatan Perdana Menteri sambil turut mengaitkan keadaan itu dengan sambutan hari lahir beliau.

“Alhamdulillaah. Masya-Allah. Datuk Seri Anuar Ibrahim sambut hari lahir dalam hospital. Semoga cepat sembuh dan dipermudahkn segala urusan DSAI.. Aamiin3x Yaa Rabbal Aalaamiin…” tulisnya.

Mohd Zulkifli Mohd Noor pula meninggalkan ucapan ringkas: “speedy recovery boss.. Ilahi Amin.”

Semalam, Anwar dilaporkan selamat menjalani prosedur pembedahan laparoskopi secara elektif bagi merawat hernia perut atau para-umbilical hernia.

Prosedur berkenaan berjalan lancar di bawah kendalian pasukan pakar perubatan, menurut Ketua Pasukan Perubatan kepada Perdana Menteri, Datuk Dr Asri Ranga Abdullah Ramaiah.

Pada 18 Januari lalu, Anwar menjalani pemeriksaan kesihatan berkala di Hospital Sultan Idris Shah (HSIS), Serdang.

Pihak hospital mengesahkan kesihatan beliau berada pada tahap memberangsangkan dan membolehkannya meneruskan semua tugasan rasmi.

BACA JUGA Sokong syor RCI, Mahiaddin mahu ahli politik dijauhkan dari kepimpinan Tabung Haji