Sokong syor RCI, Mahiaddin mahu ahli politik dijauhkan dari kepimpinan Tabung Haji
Menyokong syor Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung Lembaga Tabung Haji (TH), Tan Sri Mahiaddin Yassin mahu amalan melantik tokoh politik atau individu yang masih mempunyai kepentingan politik aktif dihentikan.
Presiden Bersatu berkenaan berkata, langkah berkenaan penting bagi memastikan keputusan pelaburan dan pengurusan dana pendeposit dibuat secara profesional, bebas daripada campur tangan politik serta benar-benar mengutamakan kepentingan jutaan umat Islam yang menyimpan di TH.
“Amalan melantik tokoh politik atau individu yang mempunyai kepentingan politik aktif ke dalam Lembaga Pengarah mahupun jawatan pengurusan tertinggi Lembaga Tabung Haji hendaklah dihentikan.
“Ini bagi mengelakkan campur tangan politik dalam keputusan pelaburan dan pengurusan dana pendeposit,” katanya.
Ahli Parlimen Pagoh itu berkata demikian ketika membahaskan Laporan RCI berhubung TH pada Persidangan Khas Dewan Rakyat hari ini.
Penilaian kelayakan
Bekas Perdana Menteri itu menegaskan pelantikan Ahli Lembaga Pengarah dan pengurusan tertinggi TH, termasuk anak syarikatnya perlu dibuat berdasarkan merit, integriti, kelayakan profesional serta pengalaman.
Ia termasuk pengalaman luas dalam bidang kewangan, perbankan, pelaburan, undang-undang dan syariah.
Mahiaddin turut menyarankan supaya penilaian kelayakan dan kesesuaian dilaksanakan sebelum mana-mana individu dilantik ke dalam kepimpinan TH.
Jelasnya, proses itu perlu menggunakan kriteria penapisan ketat berdasarkan piawaian kawal selia seperti yang terkandung dalam garis panduan Bank Negara Malaysia.
“Syarat ini adalah penting untuk memastikan individu yang dilantik bebas daripada sebarang konflik kepentingan, isu integriti, atau tekanan politik luar,” kata bekas Timbalan Presiden Umno itu.
Muhyiddin turut menegaskan Jawatankuasa Pelaburan TH perlu bertindak secara bebas tanpa dipengaruhi mana-mana arahan luar yang boleh menjejaskan kepentingan kewangan pendeposit.
Pada masa sama, beliau berkata keyakinan rakyat terhadap TH perlu dipulihkan sepenuhnya dengan memastikan kesilapan lalu tidak berulang.
Audit forensik
Sehubungan itu, beliau menggesa syor RCI dilaksanakan, tindakan diambil berdasarkan dapatan audit forensik serta tadbir urus berintegriti ditegakkan demi masa depan TH dan umat Islam di Malaysia.
Terdahulu, dalam Sidang Khas Dewan Rakyat yang sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Hasan mendedahkan mengenai pelaburan Lembaga Tabung Haji (TH) dalam Putrajaya Perdana Berhad (PPB).
Pelaburan tersebut berlaku ketika Pengerusi TH ketika itu, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim merangkap Ahli Majlis Tertinggi Umno dan Ketua Umno Bahagian Baling juga merupakan Pengerusi PPB.
Laporan RCI TH menyaksikan kepincangan pengurusan Tabung Haji bagi tempoh 2014 hingga 2020 termasuk isu tadbir urus dan risiko campur tangan politik, kelemahan dalam pemantauan pelaburan serta konflik kepentingan membabitkan anak syarikat.
Dalam masa sama, RCI mengabsahkan bahawa Pelan Pemulihan dan Penstrukturan TH 2018 iaitu ketika pentadbiran kerajaan diterajui Pakatan Harapan (PH) 1.0 adalah langkah paling tepat serta kritikal, yang diambil bagi menyelamatkan dan memulihkan semula kedudukan kewangan TH.
BACA JUGA Umno makan diri serang melampau DAP, PN pula untung apa jua pilihan BN