‘Jangan jadi Isa Samad nombor dua sudah’, taklimat kewangan Negeri Sembilan jadi perhatian
Klip video dikongsikan Datuk Seri Jalaluddin Alias berkenaan sesi taklimat kedudukan kewangan Negeri Sembilan menarik perhatian netizen.
Menerusi rakaman ringkas dimuatkan di Facebook Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Sembilan berkenaan, program itu diadakan di Klana Resort, Seremban semalam.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim yang memegang tiga portfolio utama dalam pentadbiran kerajaan negeri dilihat mempengerusikan taklimat tersebut.
Menjengah ke ruangan komentar, rata-rata menyindir Jalaluddin atau dipanggil Tok Jalal dan Barisan Nasional (BN) yang merampas Negeri Sembilan selepas lapan tahun diterajui dengan cemerlang oleh Pakatan Harapan (PH).

Ada yang membandingkan pencapaian ekonomi Negeri Sembilan pada penghujung era Datuk Seri Aminuddin Harun yang jauh lebih besar daripada pentadbiran BN.
Malah, muncul juga sindiran mengaitkan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad yang begitu lama menjadi Menteri Besar iaitu kira-kira 22 tahun, dari 1982 hingga 2004.
Penjara enam tahun
Untuk rekod, Isa Samad sedang menjalani hukuman penjara enam tahun dan denda RM15.45 juta selepas didapati bersalah pada 2021 atas tuduhan rasuah RM3.09 juta berkaitan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites di Kuching ketika menjadi Pengerusi Felda.
“Bolehlah merancang proses penyakauan,” tulis pengguna Facebook, Muhammad Zaki yang kemudian meraih banyak tanda ‘suka’.
Sementara itu, Mohd Firdaus Johari secara sinis berkata, “Jangan jadi Isa Samad nombor dua sudah”.
Zulkifli Muhamed pula menyindir, “Rizab Negeri berbilion… meleleh.”

Sebelum ini, Negeri Sembilan diterajui Aminuddin yang mesra dipanggil Tok Min menyaksikan kejayaan mengubah belanjawan defisit kepada belanjawan lebihan (surplus) empat tahun berturut-turut dari 2022 hingga 2025.
Pelaburan tertinggi dalam sejarah negeri itu juga direkodkan apabila nilai pelaburan mencecah RM19.1 bilion membabitkan 295 projek yang diluluskan pada 2025.
Rizab Negeri Sembilan juga jauh melonjak daripada hanya RM725.96 juta pada 2017 kepada RM1.04 bilion tahun lalu.
Walau bagaimanapun, rekod pencapaian cemerlang pentadbiran PH itu belum cukup untuk menewaskan gelombang sentimen dan emosi pengundi apabila BN muncul sebagai blok terbesar dalam PRN Negeri Sembilan pada 1 Ogos lalu.
BN memenangi 18 daripada 36 kerusi DUN, manakala PH hanya memperoleh 11 kerusi dan PN tujuh kerusi, sekali gus menyaksikan sentimen kaum dan politik identiti lebih mempengaruhi pengundi berbanding rekod prestasi pentadbiran.
BACA JUGA Titah Agong mahu RCI Tabung Haji disiasat tanpa kompromi, kenapa pula keluar Dewan?