“Insya-Allah hari ini discaj” – Wan Azizah beri bayangan PMX keluar hospital

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka dibenarkan keluar hospital hari ini selepas menjalani pembedahan laparoskopi bagi merawat hernia para-umbilikal, menurut isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Wan Azizah berkata beliau akan menziarahi Anwar terlebih dahulu sebelum Perdana Menteri itu dijangka dibenarkan pulang.

“Insya-Allah macam nak pergi ni, lepas saya pergi lawat sekejap, saya nak pergi sebab insya-Allah hari ini dia discharge. Terima kasih,” katanya.

Anwar menjalani prosedur pembedahan tersebut secara elektif dan dilaporkan berada dalam keadaan baik selepas pembedahan. Beliau turut menjalani fisioterapi serta berada di bawah pemantauan pasukan pakar perubatan bagi memastikan proses pemulihannya berjalan lancar.

Sebelum itu, pasukan perubatan memaklumkan Anwar dijangka berada di bawah pemerhatian selama kira-kira dua hari selepas menjalani prosedur berkenaan.

Pembedahan itu dilakukan bagi merawat hernia para-umbilikal, iaitu keadaan apabila tisu menonjol melalui kawasan dinding abdomen berhampiran pusat.

Perkembangan mengenai kesihatan Perdana Menteri itu mendapat perhatian selepas Anwar tidak hadir dalam persidangan khas Dewan Rakyat berhubung Laporan RCI Tabung Haji pada Selasa.

Dengan perkembangan terbaharu itu, Anwar dijangka kembali menjalankan tugas rasmi selepas mendapat pelepasan serta nasihat daripada pasukan perubatannya.

BACA JUGA RENCANA | Bukan sorok, PMX lindungi pendeposit: Risiko pengeluaran deposit jadi pertimbangan dedah RCI