Dah tiada DAP pun masalah belum reda, MB baharu Negeri Sembilan pula ‘dipaksa’ singkir Yamtuan

Oleh SAHUL HM

Ceritera takhta dan istana Negeri Sembilan belum reda sepenuhnya. Air yang kita lihat tenang kelmarin, rupanya masih ada buaya.

Dari gerbang istana, kini ada orang yang mengheretnya sampai ke kandang mahkamah.

Sebabnya? Nak ‘memaksa’ Menteri Besar Negeri Sembilan yang baharu, Datuk Ismail Lasim, untuk menandatangani satu dokumen pemasyhuran yang bertujuan untuk menyingkirkan Yamtuan Besar, Tuanku Muhriz.

Perintah Mandamus, ikut istilah perundangan. Itu biarlah orang undang-undang yang bahas.

Sistem Beraja adalah sebuah institusi. Baik ia digelar sebagai Sultan, Raja mahupun Yang Dipertuan Besar (Yamtuan Besar), semua itu adalah sebuah institusi.

Ia bukan tentang batang tubuh, tetapi tentang gelaran, kedaulatan, pengiktirafan dan kemuliannya.

Berbeza dengan negeri-negeri lain, di Negeri Sembilan ada sistem beraja yang lebih kompleks.

Di bawah raja pemerintah, iaitu Yamtuan Besar, ada Undang bagi beberapa Luak.

Inilah jawatan yang sangat penting dan besar dalam sistem beraja Negeri Sembilan, sehingga jawatan itu termaktub dalam Federal Gazette Susunan Utama Persekutuan.

Dalam banyak-banyak pembesar negeri, hanya jawatan Undang dan Tengku Besar Tampin yang disebut secara eksplisit di dalamnya.

Kata kuncinya di sini adalah INSTITUSI. Jawatan Undang adalah sebuah institusi. Yang penting bukan siapa penyandangnya.

Yang penting adalah keberadaan dan penegakan institusinya walau siapapun yang dipilih oleh mereka yang layak memilih dan memartabatkannya.

Apa yang berlaku di Negeri Sembilan, seperti yang diputuskan pada 31 Julai 2026 dalam Dewan Keadilan dan Undang (DKU), institusi Undang kekal berdaulat, berpenyandang (kecuali yang belum dilantik), hanya batang tubuhnya yang bertukar.

Pusakanya masih utuh terpelihara, yang berubah cuma orangnya.

Sementelah, dalam Adat Pepatih, Undang bukan dilantik oleh kerajaan negeri mahupun Yamtuan, tetapi dari Luaknya sendiri, termasuklah Waris, Ibu Soko, Buapak dan Lembaga berdasarkan adat masing-masing. Ia unik dan kompleks.

Dalam pada kita menyerahkan perihal tersebut kepada kebijaksanaan mahkamah, kita juga mendoakan supaya krisis ini dileraikan dan diselesaikan dengan molek.

Keutuhan raja pemerintah, Yamtuan Besar Negeri Sembilan, didoakan terus terpelihara daripada sebarang tohmah dan mehnah.

Kita percaya ketertinggian DKU sepertimana yang pernah diputuskan dalam satu kes Mahkamah Persekutuan pada tahun 1980 menjadi pelerai kepada kekusutan yang berlaku kini.

BACA JUGA Sindiran ‘Ustaz BBNU’ makan diri, Ridhuan Tee ditanya mufti pun ‘barua baru nak up’ ke?