Bukan salahkan pengundi, AMK pilih muhasabah: “Keresahan Melayu dan Islam perlu kita dengar”

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) mahu memperkukuh pendekatan politiknya dengan lebih memahami keresahan rakyat, khususnya berkaitan kedudukan Melayu dan Islam, tanpa terperangkap dalam politik ketakutan.

Ketua AMK, Muhammad Kamil Abdul Munim, berkata suara dan kebimbangan masyarakat Melayu serta umat Islam tidak seharusnya dipandang ringan, sebaliknya perlu didengar dan dijawab menerusi dasar yang meyakinkan.

Menurutnya, politik yang matang bukan sekadar bergantung kepada pencapaian kerajaan, tetapi perlu mampu memahami keresahan masyarakat serta memberikan keyakinan bahawa hak Melayu dan Bumiputera boleh dipertahankan melalui dasar yang adil.

“Jangan kita menghina orang Melayu yang bimbang tentang kedudukan mereka. Jangan kita memperlekehkan orang Islam yang mahu melihat agama mereka dihormati.

“Jangan kita menganggap setiap keresahan tentang bangsa dan agama sebagai tanda kemunduran pemikiran. Keresahan itu wujud, dan politik yang matang perlu mendengarnya.”

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Ucapan Dasar Ketua AMK pada Persidangan Kongres KEADILAN 2026: Kongres AMK di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, malam tadi.

Muhammad Kamil berkata AMK perlu mengakui bahawa politik berasaskan prestasi sahaja belum memadai jika parti mahu membina keyakinan lebih kukuh dalam kalangan rakyat.

Katanya, sebahagian pihak berjaya memainkan naratif bahawa Melayu dan Islam sedang terancam, termasuk isu berkaitan kuasa Melayu dan masa depan bangsa.

Namun, katanya, AMK tidak seharusnya menjawab keresahan itu dengan memperlekehkan pengundi.

Sebaliknya, parti perlu menawarkan politik yang memberikan keyakinan bahawa kepentingan Melayu dan Bumiputera boleh dipelihara tanpa menafikan hak kaum lain.

“Keyakinan bahawa Melayu tidak akan hilang hanya kerana negara ini berlaku adil kepada semua, bahawa Islam tidak menjadi lemah hanya kerana masyarakat menghormati kepelbagaian,” katanya.

Pertahan Melayu tanpa menutup peluang kaum lain

Muhammad Kamil berkata mempertahankan hak Melayu dan Bumiputera tidak bermaksud peluang untuk kaum lain perlu ditutup.

Sebaliknya, katanya, negara yang berlaku adil kepada semua mampu memperkukuh kedudukan Melayu dan Bumiputera.

“Inilah perbezaan antara politik ketakutan dengan politik keyakinan.

“Politik ketakutan memerlukan musuh untuk terus hidup. Politik keyakinan membina kekuatan daripada ilmu, prestasi, keadilan dan keupayaan,” katanya.

Dalam ucapannya, Muhammad Kamil turut mengakui kekalahan dalam beberapa pilihan raya negeri lalu perlu dijadikan ruang untuk AMK bermuhasabah dan memperbaiki pendekatan, bukannya menyalahkan rakyat.

Katanya, keputusan pilihan raya perlu dilihat sebagai isyarat bahawa masih ada sebahagian rakyat yang perlu diyakinkan bahawa politik dibawa PKR benar-benar memahami kebimbangan mereka.

Pendekatan itu memperlihatkan AMK mahu bergerak daripada sekadar mempertahankan prestasi kerajaan kepada usaha membina keyakinan rakyat termasuk dengan mendengar keresahan Melayu dan Islam tanpa memainkan politik ketakutan.

BACA JUGA Jangan ikut Trump!  Amirudin beri amaran politik kanan ekstrem mula ‘racun’ masyarakat