Ekonomi Malaysia ‘gear 6’: AI, pelaburan dan rakyat jadi enjin pertumbuhan
Ekonomi Malaysia mencatat pertumbuhan lebih kukuh daripada jangkaan apabila berkembang 6.0 peratus pada suku kedua 2026, didorong permintaan domestik yang kekal berdaya tahan serta prestasi eksport yang menggalakkan.
Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata perkembangan itu menunjukkan ekonomi negara kekal berada pada landasan kukuh meskipun berdepan ketidaktentuan luaran.
Katanya, pertumbuhan sepanjang 2026 bagaimanapun masih diunjurkan dalam julat 4 hingga 5 peratus, dengan perkembangan terkini menunjukkan pertumbuhan keseluruhan berpotensi menghampiri sekitar lima peratus.
“Ekonomi Malaysia kekal berada pada landasan yang kukuh.
“Pertumbuhan pada tahun 2026 diunjurkan kekal dalam julat unjuran 4 hingga 5 peratus dengan perkembangan terkini mengisyaratkan pertumbuhan keseluruhan berpotensi mencecah sekitar 5 peratus,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media mengenai prestasi ekonomi suku kedua 2026 di sini hari ini. Turut hadir Ketua Perangkawan, Siti Asiah Ahmad.
Menurut Abdul Rasheed, pertumbuhan suku kedua didorong terutama oleh permintaan dalam negeri, termasuk perbelanjaan isi rumah serta aktiviti pelaburan yang terus berkembang.
Penggunaan swasta berkembang 5.9 peratus, disokong keadaan pasaran buruh yang menggalakkan, pertumbuhan pendapatan yang stabil serta sokongan dasar berterusan.
Pelaburan swasta pula meningkat 7.3 peratus, manakala pelaburan awam melonjak 9.2 peratus.
Pertumbuhan pelaburan itu didorong perbelanjaan berterusan terhadap struktur, mesin dan kelengkapan, selain peningkatan perbelanjaan aset tetap oleh kerajaan serta syarikat awam.
Penggunaan awam turut mencatat pertumbuhan 2.6 peratus, didorong peningkatan bekalan dan perkhidmatan serta perbelanjaan emolumen.
Sementara itu, Siti Asiah berkata prestasi sektor luaran turut memberi sumbangan besar apabila eksport bersih melonjak 168.5 peratus.
Katanya, peningkatan itu didorong permintaan kukuh terhadap produk elektrik dan elektronik (E&E), khususnya susulan pengembangan teknologi global selain kesan asas.
AI mula jadi ‘enjin’ baharu
Dari sudut penawaran, pertumbuhan ekonomi disokong terutama oleh sektor perkhidmatan dan pembuatan.
Sektor perkhidmatan berkembang 5.9 peratus, dipacu pertumbuhan lebih tinggi dalam perkhidmatan berkaitan perniagaan, khususnya subsektor teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta kewangan dan insurans.
Lebih menarik, sektor pembuatan mencatat pertumbuhan 7.7 peratus, dengan industri berorientasikan eksport menjadi antara pemacu utama.
Prestasi itu khususnya disokong industri E&E susulan permintaan tinggi terhadap produk berkaitan kecerdasan buatan (AI).
Siti Asiah berkata permintaan terhadap produk E&E dijangka terus menyokong eksport Malaysia seiring peningkatan pelaburan dalam aktiviti berkaitan AI dan perkembangan teknologi global.
“Dari segi sektor luaran, pertumbuhan eksport akan terus disokong oleh permintaan yang kekal kukuh terhadap produk E&E sejajar dengan peningkatan pelaburan dalam aktiviti berkaitan AI dan pengembangan teknologi global,” katanya.
Sektor perlombongan turut mencatat pertumbuhan lebih tinggi sebanyak 9.2 peratus, susulan peningkatan pengeluaran gas asli selepas pemulihan daripada aktiviti penyelenggaraan sebelum ini.
Sektor pembinaan pula berkembang 6.5 peratus, disokong terutama aktiviti perdagangan khusus serta pembinaan bukan kediaman yang berterusan.
Bagaimanapun, tidak semua sektor mencatat pertumbuhan positif.
Sektor pertanian menguncup 3.7 peratus, terutama disebabkan pengeluaran kelapa sawit kembali kepada paras normal selepas mencatat hasil tinggi pada 2025.
Siti Asiah berkata prospek pertumbuhan domestik dijangka terus disokong pertumbuhan pendapatan isi rumah serta pelaksanaan langkah dasar kerajaan secara berterusan.
Katanya, aktiviti pelaburan pula akan dipacu kemajuan projek berbilang tahun dalam sektor swasta dan awam, kadar realisasi pelaburan yang diluluskan yang kekal tinggi serta pelaksanaan pelan induk nasional.
Dengan permintaan domestik yang masih kukuh dan sektor teknologi khususnya E&E mendapat manfaat daripada ledakan AI global, prestasi suku kedua memberi isyarat bahawa ekonomi Malaysia masih mempunyai beberapa enjin pertumbuhan untuk mengekalkan momentumnya sepanjang 2026.
BACA JUGA Baru masuk Pas, Zaid terus ‘cabar’ pendirian parti soal judi: Siapa yang untung?