Keluar atau kekal dalam kerajaan? DAP Pulau Pinang beri mandat penuh kepada perwakilan

DAP Pulau Pinang memilih untuk tidak mengikat perwakilannya dengan sebarang pendirian rasmi menjelang Persidangan Kebangsaan parti pada 16 Ogos ini.

Sebaliknya, DAP negeri itu menyerahkan mandat sepenuhnya kepada mereka untuk menentukan sama ada parti komponen Pakatan Harapan (PH) tersebut wajar kekal dalam kerajaan atau keluar daripada barisan Kabinet.

Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP, Chow Kon Yeow berkata, keputusan itu dibuat selepas Jawatankuasa DAP Pulau Pinang bermesyuarat pada 12 Ogos lalu dan sepakat mengambil pendekatan terbuka menjelang persidangan penting berkenaan.

“Bagi Pulau Pinang, jawatankuasa negeri dalam perjumpaan pada hari Rabu mengambil sikap terbuka. Kita tidak membuat satu pendirian rasmi negeri,” katanya pada sidang media di Komtar di Georgetown hari ini.

Menurut Kon Yeow, perwakilan dari Pulau Pinang juga sudah diberikan taklimat berhubung usul-usul yang bakal dibahaskan.

Ia termasuk isu kedudukan DAP dalam kerajaan, dan mereka diberi kebebasan penuh untuk membuat keputusan sendiri ketika pengundian nanti.

Beliau yang juga Ketua Menteri berkata, setiap kepimpinan negeri mempunyai pendekatan masing-masing dalam menghadapi konvensyen parti tersebut.

Persidangan Kebangsaan DAP 2026 pada 16 Ogos ini bakal menentukan hala tuju parti sama ada keluar daripada Kerajaan Persekutuan atau kekal sehingga tamat penggal Parlimen semasa.

Seramai 4,264 perwakilan daripada 1,704 cawangan yang layak menghadiri persidangan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) itu akan menentukan keputusan mengenai usul tersebut.

BACA JUGA ‘Satu hati demi agama’, netizen tanya Pas kenapa keluar Dewan bila RCI TH dibahas