‘Tak boleh ada parti dalam parti, dua nakhoda satu kapal’ – Nurul Izzah seru PKR kalis fraksi

Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar memberi peringatan bahawa parti itu tidak akan mampu muncul sebagai organisasi politik yang benar-benar kuat sekiranya masih dibelenggu situasi “parti dalam parti” serta perebutan pengaruh dalaman.

Berucap ketika merasmikan Kongres Nasional Wanita dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), hari ini, beliau menegaskan pendiriannya bukan mewakili mana-mana kem atau fraksi dalam PKR.

Sebaliknya, Nurul Izzah berkata, amanahnya sebagai Timbalan Presiden yang bakal menamatkan penggal adalah untuk melihat PKR bergerak ke hadapan sebagai sebuah parti yang “kalis fraksi”.

“Saya berdiri di atas pentas Wanita dan AMK bukan mewakili fraksi. Saya jalankan amanah saya selaku outgoing Timbalan Presiden yang mahukan masa depan Keadilan yang kalis fraksi.

“Kita tidak mampu kuat sebagai sebuah organisasi kalau wujudnya parti dalam parti, dua nakhoda mengemudi satu kapal atau adanya tangan ghaib membentuk struktur kuasa tersembunyi di sebalik kuasa yang zahir,” katanya.

Keyakinan rakyat

Menurut Nurul Izzah, pertelingkahan dalaman hanya membazirkan tenaga yang sepatutnya digunakan untuk memperkukuh keyakinan rakyat terhadap perjuangan parti dan agenda Reformasi.

“Kita juga tidak mampu kuat sebagai sebuah organisasi selagi tenaga kita dihabiskan dalam pertelingkahan dalaman.

“Setiap jam yang kita gunakan untuk bertelagah sesama sendiri adalah jam yang tidak kita gunakan untuk memenangi hati rakyat,” tegasnya.

Justeru, bekas Ahli Parlimen Lembah Pantai (2008 hingga 2018) dan bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh (2018 hingga 2022) itu mahu seluruh kekuatan parti kembali dibulatkan kepada agenda yang benar-benar memberi kesan kepada kehidupan rakyat, khususnya usaha merakyatkan ekonomi.

Pada masa sama, Nurul Izzah mengingatkan bahawa ukuran sebenar kekuatan sesebuah parti politik bukan sekadar siapa menguasai jawatan dalam organisasi, sebaliknya keupayaan mendapat mandat rakyat menerusi pilihan raya.

“Jadi, saya fikir fokus kita, insya-Allah, untuk membulatkan tekad kepada agenda merakyatkan ekonomi, bersaing dalam melakukan kebaikan menerusi kemenangan dalam Pilihan Raya Umum dan Pilihan Raya Negeri.

“Ia bukan tugas yang mudah,” katanya lagi yang akan bercuti bagi menyambung pengajian bermula minggu depan.

Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail Datuk Seri Amirudin Shari, kedua-duanya Naib Presiden PKR, berkongsi prinsip yang sama selepas melalui perjalanan panjang perjuangan bersama parti.

“Saya pasti Datuk Seri Saifuddin dan Datuk Seri Amirudin turut berpegang pada prinsip yang sama kerana kita telah melalui pahit, manis, perit, getir sepanjang berjuang berdekad-dekad,” kata Nurul Izzah lagi.

BACA JUGA Fadillah selamat dibedah, keluarga zahir penghargaan buat IJN dan rakyat Malaysia