PKR akui terluka selepas kalah beberapa medan, Fuziah seru parti jangan hidup dalam luka
PKR mengakui parti itu kini berada dalam keadaan “luka dan cedera” selepas melalui tempoh mencabar termasuk kehilangan beberapa medan pilihan raya yang selama ini menjadi sandaran perjuangan.
Setiausaha Agung PKR, Senator Datuk Dr Fuziah Salleh berkata, beberapa pilihan raya yang dilalui parti itu telah menguji kekuatan organisasi selain memberi kesan kepada hubungan politik dengan rakan seperjuangan.
“Beberapa pilihan raya telah menguji kekuatan kita. Kita kehilangan beberapa medan yang selama ini menjadi sandaran perjuangan, termasuk negeri yang pernah kita terajui,” katanya ketika menyampaikan ucapan alu-aluan pada Kongres Nasional PKR 2026 di Melaka, hari ini.
Menurutnya, perubahan dalam hubungan politik juga bukan sesuatu yang mudah diterima anggota parti.
Beliau mengibaratkan keadaan itu seperti “tidur sebantal, mimpi lain-lain”, yang menurutnya meninggalkan kesan kepada hati sanubari anggota PKR.
Bagaimanapun, Fuziah berkata kongres berkenaan bukan medan untuk mencari salah atau menuding jari terhadap mana-mana pihak.
Sebaliknya, katanya, PKR perlu cukup matang untuk membaca realiti, jujur mengakui kelemahan dan berani belajar daripada pengalaman.
“Kita tidak boleh berpura-pura bahawa tiada apa yang berlaku. Kita mesti mengakui bahawa kita pernah kecewa, pernah sedih dan pernah terluka.
“Kita tidak boleh membiarkan luka menentukan masa depan kita,” katanya.
Fuziah menegaskan kekalahan bukan pengakhiran kepada perjuangan PKR kerana sejarah parti itu sendiri membuktikan bahawa parti berkenaan pernah melalui tempoh lebih sukar.
“Luka bukan pengakhiran dan kekalahan bukan penamat kepada perjuangan,” katanya.
Menurutnya, tugas PKR kini bukan terus melihat apa yang telah hilang tetapi menentukan perkara yang mahu dibina semula, cara untuk bangkit dan hala tuju perjuangan parti selepas ini.
BACA JUGA RENCANA | Al-Rawda : Niat yang baik tidak memadam kegagalan tadbir urus