Gunung Kanthan berdepan risiko lenyap, 10 NGO desak kerajaan Perak hentikan perluasan kuari

Kerajaan Negeri Perak digesa memberi komitmen tegas untuk memelihara Gunung Kanthan memandangkan geotapak penting dalam Geopark Kebangsaan Lembah Kinta itu kini berdepan risiko pemusnahan akibat aktiviti kuari.

Gesaan itu dibuat oleh gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan kumpulan pendesak alam sekitar.

Kumpulan terbabit berkata, cadangan memperluaskan kawasan kuari sehingga meliputi keseluruhan Gunung Kanthan, termasuk Zon C dan Zon D, boleh mengancam khazanah geologi serta spesies endemik yang terdapat di kawasan berkenaan.

Jurucakap kumpulan itu, Meor Razak Meor Abdul Rahman berkata, Gunung Kanthan merupakan antara geotapak warisan geologi berasaskan bukit batu kapur yang terletak di Mukim Hulu Kinta, Daerah Kinta.

Namun menurutnya, keadaan semasa kawasan berkenaan menimbulkan kebimbangan apabila sebahagian Gunung Kanthan di Zon A dan Zon B sudah terlibat dengan aktiviti pengekstrakan batuan untuk membekalkan bahan mentah kepada operator pembuatan simen berhampiran.

“Kami mendapati Geotapak Gunung Kanthan menghadapi risiko pemusnahan tanpa diberi perhatian yang sewajarnya,” katanya dalam satu kenyataan bersama.

Kumpulan itu juga berkata, kebimbangan semakin memuncak selepas dimaklumkan bahawa pihak berkuasa negeri telah menyambung tempoh pemilikan atau pajakan tanah kepada operator pembuatan simen berhampiran pada 2020.

Biodiversiti tinggi

Mereka turut membangkitkan cadangan penambahan kawasan kuari yang dikatakan boleh melibatkan keseluruhan Gunung Kanthan, termasuk Zon C dan Zon D yang mempunyai nilai biodiversiti tinggi.

Menurut kenyataan itu, penyelidikan yang dijalankan mendapati kedua-dua zon berkenaan menjadi habitat kepada beberapa spesies flora dan fauna endemik yang dikategorikan mempunyai nilai pemuliharaan kritikal atau critically endangered (CR).

Antara flora yang disenaraikan ialah Meiogye kanthanensis, Gymnostachyum kanthanensis dan Vatica kanthanensis.

Selain itu, spesies fauna endemik termasuk labah-labah purba Liphistius kanthanensis serta cicak Cyrtodactylus guakanthanensis.

Gabungan NGO berkenaan turut mempersoalkan penyambungan tempoh pajakan tanah di Gunung Kanthan kerana bercanggah dengan zon guna tanah dalam Rancangan Tempatan Bandaraya Ipoh 2035 (Penggantian) serta perancangan terdahulu di bawah Rancangan Tempatan Ipoh 2020.

Mereka berkata, Rancangan Tempatan Ipoh 2020 sendiri pernah menyatakan bahawa Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) akan mencadangkan kepada kerajaan negeri supaya kegiatan pengkuarian baharu tidak lagi diluluskan dalam kawasan pentadbiran pihak berkuasa tempatan itu.

Status pengiktirafan

Sehubungan itu, kumpulan alam sekitar terbabit mahu kerajaan negeri mengambil langkah memastikan Gunung Kanthan terus dipelihara sebagai sebahagian daripada Geopark Kebangsaan Lembah Kinta.

Turut dibimbangi mereka adalah kegagalan melindungi geotapak berkenaan boleh menjejaskan nilai keseluruhan kawasan geopark serta status pengiktirafannya pada masa hadapan.

“Walaupun Gunung Kanthan merupakan salah satu geotapak dalam Geopark Kebangsaan Lembah Kinta, ketika ini kawasan itu tidak dibenarkan dikunjungi orang awam berbanding beberapa geotapak lain.

“Kami berharap pihak berkuasa negeri memberi perhatian terhadap gesaan untuk memberi komitmen memelihara dan mengekalkan Geotapak Gunung Kanthan dan agar status pengiktirafan sebagai Geopark Kebangsaan tidak ditarik balik,” katanya.

Kenyataan bersama itu disokong oleh Sahabat Alam Malaysia (SAM), Persatuan Aktivis Sahabat Alam (KUASA), Pertubuhan Alam Sekitar Sejahtera Malaysia (GRASS), Pertubuhan Penggerak Bumi Hijau Malaysia (GEMS), Greenpeace Malaysia, Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (PEKA), Persatuan Pencinta Alam Malaysia Cawangan Perak (MNS Perak), Sahabat Ekologi Perak (SEP) dan Kinta Valley Watch.

Turut bersama dalam gesaan tersebut ialah Penasihat Kempen Selamatkan Gunung Kanthan, Dr Maketab Mohamed.

BACA JUGA Terkejut gambar terpampang isu saman RM5 juta, Nazri tampil perjelas video