Tak mahu pesakit terus berpanas, Dr Dzulkefly lulus RM2.01 juta serta-merta untuk Hospital Kota Belud
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad meluluskan peruntukan segera RM2.01 juta untuk Hospital Kota Belud, Sabah selepas melihat sendiri keadaan fasiliti hospital berusia 44 tahun itu yang memerlukan penambahbaikan mendesak.
Antara yang mendapat perhatian beliau ialah Unit Pesakit Luar yang terpaksa menampung purata 261 pesakit sehari dalam keadaan ruang menunggu yang panas dan kurang selesa.
Beliau berkata, kerajaan tidak boleh hanya berbangga dengan dedikasi tinggi warga hospital tanpa menyediakan kemudahan yang sepadan dengan keperluan mereka dan pesakit.

“Apabila melihat Unit Pesakit Luar terpaksa menampung purata 261 pesakit setiap hari dalam keadaan ruang menunggu yang panas dan tidak selesa, saya tahu KKM tidak boleh sekadar berbangga dengan pengorbanan mereka tanpa melakukan apa-apa.
“Menambah baik fasiliti di hospital ini bukan sekadar satu keperluan, tetapi ia amat mendesak.
“Kita tidak mahu pesakit berpanas, dan kita tidak boleh biarkan kakitangan perubatan merawat pesakit menggunakan mesin yang sudah berusia belasan tahun,” katanya selepas melawat hospital itu petang semalam.
Ruang menunggu
Dr Dzulkefly memaklumkan, daripada keseluruhan peruntukan itu, RM1 juta akan disalurkan terus bagi menaik taraf Unit Pesakit Luar, khususnya untuk menangani masalah ruang menunggu yang panas.
Sebanyak RM510,000 pula diperuntukkan bagi memantapkan perkhidmatan pergigian, termasuk kerja menaik taraf Unit Pergigian dan pembelian kerusi pergigian baharu.
Baki RM500,000 digunakan bagi memperoleh sistem Mobile X-Ray atau Mobile Radiography baharu bagi menggantikan mesin sedia ada yang sudah berusia 18 tahun dan tidak lagi efisien.
Walaupun beroperasi menggunakan bangunan yang sudah berusia lebih empat dekad, Dr Dzulkefly memuji komitmen warga hospital yang menurutnya terus memberikan perkhidmatan terbaik sehingga berjaya meraih pelbagai pengiktirafan dalam bidang kesihatan.
Beliau turut berkongsi kata-kata yang diterimanya ketika lawatan itu bahawa kecemerlangan penjagaan kesihatan luar bandar bukan semata-mata bergantung kepada memiliki lebih banyak sumber, tetapi bagaimana sumber yang ada dimanfaatkan dengan sepenuh hati.
“Biar petugas kesihatan kita fokus memberikan rawatan dari hati, dan biar kementerian yang uruskan kelengkapan fasiliti mereka.
“Terima kasih, warga Hospital Kota Belud!” kata Dr Dzulkefly lagi.
BACA JUGA Lepas persidangan khas RCI TH, ulama-agamawan bakal gerakkan penerangan kepada masyarakat