Pemuda AMANAH sedia khidmat guaman pro bono kepada penerima LOD Asyraf Wajdi

Pemuda AMANAH Nasional menawarkan khidmat guaman secara pro bono kepada mana-mana individu yang didakwa menerima Letter of Demand (LOD) daripada Datuk Dr Asyraf Wajdi susulan isu berkaitan RCI Tabung Haji.

Menurut Pemuda AMANAH, tindakan menghantar LOD kepada beberapa individu perseorangan dilihat sebagai langkah yang terlalu drastik dan keterlaluan, lebih-lebih lagi melibatkan isu yang berkait rapat dengan kepentingan awam umat Islam.

Exco Pemuda AMANAH Nasional, Fadhli Umar Aminolhuda berkata, sebagai bekas Timbalan Menteri Agama, Datuk Dr Asyraf Wajdi seharusnya lebih terbuka dalam menangani kritikan rakyat dan bukannya mengambil tindakan undang-undang secara berlebihan.

“Isu Tabung Haji ini melibatkan kepentingan orang Melayu Islam dan sepatutnya dijawab dengan hujah yang jelas, tuntas dan berhemah, bukannya dengan tindakan menghantar LOD kepada rakyat marhaen yang hanya menyuarakan pandangan,” katanya.

Beliau turut mendakwa tindakan tersebut memberi gambaran seolah-olah kritikan rakyat tidak boleh diterima, sedangkan ruang perbincangan terbuka perlu diraikan dalam amalan demokrasi.

Sementara itu, Exco Pemuda AMANAH Nasional merangkap peguam muda, Azri Abdullah berkata, pihaknya bersedia membantu mana-mana individu yang terkesan dan tidak berkemampuan untuk mendapatkan pembelaan undang-undang.

“Kami ambil maklum bahawa ramai yang menerima LOD ini adalah rakyat biasa yang tidak mempunyai kemampuan kewangan untuk berdepan proses mahkamah. Justeru, Pemuda AMANAH menawarkan khidmat guaman secara percuma kepada mereka yang terlibat,” katanya.

Menurut beliau, tawaran tersebut dibuat atas dasar keprihatinan terhadap kebebasan bersuara serta hak rakyat untuk mendapatkan penjelasan daripada tokoh yang pernah memegang jawatan penting dalam kerajaan.

Pemuda AMANAH menegaskan komitmen mereka untuk terus mempertahankan hak rakyat dalam menyuarakan pandangan secara berhemah tanpa rasa takut atau tekanan undang-undang yang dianggap tidak seimbang.

BACA JUGA ‘Naik darah baca…’ – Syed Saddiq dedah senarai tujuh aset Tabung Haji rugi 100 peratus