Tian Chua sedia kembali: Perjuangan reformasi belum berakhir
Bekas Naib Presiden PKR, Tian Chua menyatakan kesediaannya untuk kembali menyertai parti itu sekiranya khidmatnya masih diperlukan bagi meneruskan perjuangan reformasi.
Beliau berkata, pendiriannya terhadap perjuangan reformasi tidak pernah berubah, meskipun kini tidak lagi berada dalam struktur parti.
Menurutnya, perjuangan PKR bukan milik mana-mana individu atau pemimpin, sebaliknya merupakan agenda yang perlu dikongsi bersama rakyat.
“Perjuangan ini bukan peribadi, bukan milik siapa-siapa dan bukan milik pemimpin, tetapi perjuangan ini adalah milik semua rakyat.
“Bila Presiden, Anwar Ibrahim, menyatakan kesudian untuk menerima kembali veteran-veteran lama bersama-sama berjuang dan menyertai perjuangan ini, saya rasa kita boleh mengetepikan perselisihan lama untuk bersama-sama meneruskan perjuangan,” katanya.
Memetik laporan The Malaysia Press Tian Chua berkata, beliau menyerahkan kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menentukan sama ada dirinya dan bekas anggota lain yang pernah dipecat sesuai kembali menyertai parti itu.
“Saya serah kepada Presiden parti, Anwar Ibrahim, untuk menerima kembali saya dan juga semua anggota lama yang telah dipecat,” katanya.
Beliau berkata, meskipun berada di luar struktur kepartian, komitmennya terhadap aktivisme sosial dan isu kemasyarakatan tidak pernah terhenti.
Katanya, beliau kekal aktif menerusi pertubuhan bukan kerajaan (NGO), termasuk dalam isu Palestin, isu antarabangsa dan pelbagai perkara berkaitan masyarakat.
“Saya kekal sebagai seorang aktivis. Sebelum saya menyertai politik dan parti-parti politik, saya adalah seorang yang komited dalam aktivisme sosial dan berkhidmat dalam isu kemasyarakatan.
“Walaupun saya di luar parti, saya tidak ketinggalan dalam isu ini melalui NGO, termasuk isu Palestin, isu antarabangsa dan masyarakat,” katanya.
Tian Chua turut menegaskan bahawa sekiranya PKR memerlukan khidmatnya, beliau bersedia kembali menyumbang demi memperkukuh perjuangan reformasi.
“Bagi saya, saya tidak ubah pendirian saya. Yang berbeza ialah jika PKR perlukan perkhidmatan saya, saya sedia untuk menyumbang dan mengukuhkan lagi perjuangan ini,” katanya.
Sebelum ini, Anwar mengalu-alukan veteran serta bekas anggota PKR yang pernah tersisih daripada parti untuk kembali bersama perjuangan, khususnya dalam usaha memperkukuh semula gerakan reformasi.
Anwar turut mengingatkan bahawa sebahagian bekas anggota yang pernah memenangi pilihan raya atas platform PKR mendapat sokongan rakyat berdasarkan agenda keadilan dan reformasi yang dibawa parti berkenaan.
Tian Chua merupakan antara tokoh awal PKR dan pernah menjadi Ahli Parlimen Batu.
Pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15, beliau bertanding sebagai calon Bebas di Batu selepas tidak dicalonkan PKR.
Keputusan beliau untuk bertanding di kerusi berkenaan kemudiannya menyebabkan beliau dipecat daripada PKR.
Perkembangan terbaharu itu membuka kemungkinan kembalinya beberapa tokoh lama yang pernah tersisih daripada PKR, ketika parti berkenaan berdepan keperluan memperkukuh semula saf perjuangan reformasi.
BACA JUGA MP PN dedah idea pembangkang ‘walkout’ sidang khas RCI Tabung Haji datang daripada Hamzah